Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Liga Super: Cheng Hoe tetap yakin kemampuan Faisal Halim di Selangor

yazan-al-arab-selangor-fc-vs-kelantan-united.jpg
Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, menyifatkan pemain sayap The Red Giants, Faisal Halim, merupakan antara penyumbang kepada pencapaian pasukan itu biarpun bekas perancang Terengganu FC musim lalu berkenaan masih berdepan kemarau jaringan dalam tiga perlawanan awal musim ini.

Malah tanpa berselindung Cheng Hoe menegaskan pemain Harimau Malaya berusia 25 tahun itu lebih proaktif dalam mencipta peluang dan memberikan bantuan gol kepada pemain lain.

"Memang kita semua mengetahui bahawa Faisal Halim bermain cukup baik musim lalu, terutama daripada aspek menjaringkan gol.

"Bersama Selangor, dia juga masih lagi menyesuaikan gaya permainan pasukan ini cuma masih belum menemui sentuhan jaringan.

"Biarpun begitu sumbangan Faisal kepada pasukan tetap memberikan impak positif apabila menghadirkan bantuan gol hingga meletakan pasukan ini di kedudukan terbaik.

"Ini satu perkembangan positif dan saya puji komitmen daripada pemain berkualiti seperti Faisal," katanya.

Terdahulu, aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam menyaksikan sepakan penalti Stefano Brundo meletakkan Sri Pahang di depan pada minit ke-74 sebelum jaringan pemain berprofil tinggi Selangor, Brendan Gan, pada minit ke-88 mengikat kedudukan 1-1, sekali gus memaksa dua gergasi Liga Malaysia itu masing-masing berkongsi satu mata.

Dalam masa sama, bekas pengendali Harimau Malaya dan Kedah itu memuji semangat juang dipamerkan pemain The Reds Giants, yang berusaha bangkit setelah ketinggalan satu gol.

Bagaimanapun, pada masa sama, Cheng Hoe mengakui masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki pasukannya.

"Kesilapan individu merupakan antara perkara khusus perlu diperbaiki pemain selepas tiga perlawanan ini kerana ia boleh menyebabkan kerugian kepada pasukan Selangor

"Biarpun begitu, saya percaya kami mampu teruskan ke perlawanan seterusnya dengan kualiti dimiliki dan semangat berpasukan tinggi dimiliki setiap pemain," katanya.

Kredit: Sinar Harian

 

Advertisement

Must Watch Video