LIGA SUPER MSIA
Liga Super: Caion mahu perbaharui rekod jaringan
Penyerang baru Kuala Lumpur City (KL City) FC, Herlison Caion, teruja melihat kualiti bahagian serangan yang dimiliki The City Boys sambil melaungkan keyakinan mahu memecahkan rekod jaringan yang dilakukannya semasa bersama Selangor FC musim lalu.
Penggempur dari Brazil berusia 33 tahun itu juga sangat selesa untuk bersama-sama pemain seperti Tchetche Kipre, Paulo Josue, Patrick Reichelt dan Romel Morales.
Katanya, situasi itu akan lebih banyak membantunya kerana berpeluang memiliki kebebasan bergerak di dalam kawasan lawan.
Iklan
“Di bahagian serangan, saya rasa teruja kerana ada Kipre, Paulo, Morales dan seorang lagi, Patrick, saya pernah beraksi bersamanya dengan Suphanburi.
“Malah, saya meletakkan azam untuk menyumbat lebih banyak gol berbanding semasa di Selangor selepas menghasilkan 24 jaringan musim lalu,” katanya.
Selepas cemerlang membantu skuad Gergasi Merah itu mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 serta meraih kedudukan kelima Liga Super, Caion membuat kejutan apabila memilih untuk bersama seteru Lembah Klang, KL City.
Situasi itu sememangnya tidak dijangkakan sebahagian besar peminat Selangor, yang pada mulanya menyangkakan Caion akan kekal bersama Gergasi Merah.
Bagi Caion, ia satu pilihan yang mudah kerana memang menyimpan hasrat meneruskan karier di Liga Malaysia selain mahu bekerjasama dengan Bojan Hodak.
“Ramai yang terkejut apabila mengetahui saya datang ke sini tetapi ini bukan satu keputusan yang sukar sebenarnya apabila tawaran daripada KL City datang.
“Bukan saya sahaja, isteri juga sangat selesa tinggal di Lembah Klang dan itu membuatkan saya terus menerima peluang bersama KL City.
“Pada masa sama, saya tidak sabar bekerjasama dengan Bojan, seorang jurulatih berpengalaman dan harap saya boleh mengikuti taktikal yang direncanakannya,” katanya.
Kredit: Sinar Harian
Must-Watch Video