Skip to main content

Bola Sepak

Liga M3: MFL terima laporan awal kes pergaduhan

jbfa.jpg
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan mereka sudah menerima laporan awal daripada pengadil perlawanan, Hasman Hisham Asngari, berhubung insiden pergaduhan ketika aksi Liga M3 di antara JBFA dan Kelantan United di Stadium Mini Kulai, Johor, Sabtu lalu.

MFL menerusi laman sesawangnya, www.malaysianfootballleague.com, memaklumkan telah menerima laporan itu yang diserahkan oleh penganjur Liga M3, Amateur Football League (AFL), dan mengarahkan JBFA tampil memberikan keterangan.

Pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu turut memaklumkan akan mendapatkan maklumat lebih terperinci daripada koordinator perlawanan, penolong pengadil dan pasukan pelawat sebelum mengambil sebarang tindakan selanjutnya.

“MFL ingin menegaskan bahawa kami memandang serius terhadap sebarang salah laku pemain dan pegawai dalam perlawanan.

“Selain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bertanggungjawab untuk mengenakan tindakan ke atas sebarang kesalahan disiplin, MFL sebagai penganjur Liga-M turut mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan yang ada,” jelas MFL.

MFL menjelaskan berdasarkan peraturan Liga M3, sekiranya individu berkenaan didapati bersalah, pasukan yang diwakilinya boleh diisytiharkan sebagai pasukan yang kalah, dengan jumlah gol sebanyak 0-3 atau dipotong tiga mata.

Pemain dan pegawai pasukan berkenaan pula boleh disingkirkan daripada Liga M3.

Hasman dan penolong pengadil dilaporkan diserang pemain dan pegawai pasukan JBFA susulan keputusan beliau menghadiahkan sepakan penalti kepada Kelantan United pada penghujung babak perlawanan berkenaan.

JBFA dan Kelantan United seri 3-3 dalam perlawanan tersebut.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video