BOLA SEPAK
Liga KDM Malaysia kembali dianjurkan
Selepas terhenti sejak dua tahun lalu, Liga Bola Sepak KDM Malaysia (KDMM) bakal kembali mewarnai kancah bola sepak Sabah tahun depan.
Presiden Pertubuhan KDMM, Datuk Peter Anthony, berkata kejohanan yang mula diperkenalkan pada 2015 itu akan lebih berprestij dengan beberapa penambahbaikan.
"Di sebalik kejayaan dalam penganjuran pertama, termasuk melahirkan pasukan menyertai Liga Malaysia dalam kejohanan Piala FAM, ia juga memberi banyak pengajaran.
Iklan
"Kami (Pertubuhan KDMM) sebenarnya merancang menganjurkan kejohanan ini setiap tahun tetapi terpaksa ditangguhkan apabila penyertaan pasukan KDMM dalam Liga Malaysia (Piala FAM) pada 2016 dan 2017 turut menuntut komitmen," katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Frankie Poon, di Kota Kinabalu, semalam.
Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, berkata penganjuran kejohanan itu nanti akan turut mendapat kerjasama KBS Sabah.
Katanya, kejohanan itu dijangka disertai semua pasukan daerah negeri berkenaan serta beberapa pasukan jemputan.
"Bagaimanapun, format pertandingan sedikit berbeza, di mana kali ini ia dijalankan mengikut format Piala Dunia," katanya.
Tambah beliau, turut diadakan sempena kejohanan itu ialah pertandingan Piala FA membabitkan semua pasukan.
"Untuk kejohanan liga sahaja, hadiah wang tunai keseluruhan yang ditawarkan adalah RM210,500, juara akan menerima RM100,000, kedua RM50,000, ketiga RM30,000 dan keempat RM15,000.
"Lapan pasukan yang tewas di suku akhir juga masing-masing akan menerima RM2,000," katanya lagi.
Must-Watch Video