Skip to main content

Bola Sepak

Liga Europa: Mourinho berkira-kira rehatkan pemain bertemu Arsenal

manchester-united-still-without-rooney-and-martial.jpg
Jose Mourinho tidak mempunyai masalah untuk merehatkan pemainnya ketika menentang Arsenal pada hujung minggu ini jika ia akan membantu Manchester United layak ke perlawanan akhir Liga Europa.

United akan berdepan Celta Vigo dalam perlawanan pertama separuh akhir di Balaidos, awal pagi esok, sebelum berkunjung ke Stadium Emirates pada hari Ahad nanti untuk perlawanan yang boleh memberi kesan besar dalam perlumbaan melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan menerusi melalui tiket domestik.

Skuad kendalian Mourinho menghuni tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL), satu mata di belakang musuh setempat, Manchester City, dan lima mata mengatasi Arsenal yang berada tangga keenam walaupun Gunners berbaki kelebihan satu perlawanan.

Bagaimanapun, pengurus Portugis itu menegaskan bahawa memenangi Liga Europa adalah keutamaan United kerana pertandingan itu boleh dikatakan menawarkan laluan yang lebih realistik untuk mereka kembali ke pentas saingan utama Eropah.

"Saya tahu bahawa ia satu-satunya kejohanan yang tidak pernah dimenangi Manchester United dan ia akan menjadi aksi penting dan kami semakin hampir untuk menjadi sebuah kelab yang memenangi setiap pertandingan utama dalam dunia bola sepak," kata Mourinho.

"Sebagai sebuah pasukan, saya fikir ia akan menjadi satu pencapaian yang baik memandangkan masalah-masalah yang sedang kami hadapi dan ia akan membolehkan kami kembali ke Liga Juara-Juara, musim depan.

"Liga Europa menjadi keutamaan kami ketika ini dan sudah tentu ia bergantung kepada keputusan esok. Kami akan menganalisis keadaan selepas perlawanan itu. 

"Jika perlu untuk kami merehatkan pemain dalam aksi hujung minggu ini, kami akan berbuat demikian.

"Jika kami mara ke perlawanan akhir, pemain-pemain yang terbabit tidak akan diturunkan pada Ahad ini sebelum perlawanan akhir."

Dalam masa yang sama, Mourinho terus berwaspada dengan pendekatan Celta yang dibimbing Eduardo Berizzo selepas kelab itu tumpas tiga perlawanan berturut-turut dalam LaLiga kerana menggunakan sistem penggiliran pemain. 

"Celta berjaya layak ke babak separuh akhir, itu membuktikan segala-galanya," katanya.

"Oleh kerana situasi selesa mereka dalam LaLiga, mereka berjaya untuk mengutamakan Liga Europa dengan merehatkan pemain.

"Mereka dalam kedudukan maksimum, maka (ia akan menjadi) perlawanan sukar buat kami.

"Mereka mahu menang, mereka bermain tiga perlawanan liga dengan barisan kedua mereka. 

"Saya fikir ia adalah sangat jelas bahawa mereka mereka mahukan kemenangan."
 

Advertisement

Must Watch Video