LIGA PERDANA MSIA
Liga A1: Melaka sedia menongkah cabaran Liga Super
Melaka tampak diberi lampu hijau untuk beraksi dalam Liga Super musim depan apabila Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sedia memastikan negeri itu kembali ke kancah utama Liga Malaysia (Liga-M).
Perkara itu dinyatakan presiden Persatuan Bola Sepak Melaka itu ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pada malam sambutan kejuaraan skuad Hang Tuah malam tadi.
"Kami amat berbangga dengan kejayaan ini kerana mereka telah melangkah ke Liga Super.
Iklan
"Mereka telah bersungguh-ssungguh untuk kembali ke Liga Super.
"Kerajaan Melaka akan memastikan bola sepak kembali ke peringkat kebangsaan.
"Kami akan memperhalusi dananya dan semestinya kejayaan ini satu pencapaian yang terbaik dalam sukan bola sepak Melaka," katanya.
Dua pasukan teratas Liga A1 dijanjikan slot automatik ke Liga Super musim depan, namun perlu memenuhi syarat pelesenan kelab yang ditetapkan badan bebas first instance body (FIB) berkaitan sumber kewangan kelab.
Selain itu, syarat untuk mendapatkan lesen kebangsaan juga memperuntukkan setiap pasukan memiliki pasukan pembangunan masing-masing.
Mengulas mengenai perkara itu, pemilik kelab, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad, mengakui sudah mempunyai perancangan sekiranya pasukannya menyertai saingan elit Liga-M itu.
"Saya akan kekalkan pendekatan sedia ada; daripada segi gaji dan bonus yang tidak begitu mahal tapi kami bayar tepat pada masanya.
"Kewangan penting bagi kebajikannya pemain. Kami akan buat yang terbaik supaya perkara yang lepas termasuk ke atas pasukan lain tidak berlaku lagi," katanya.
Melaka melengkapkan kejayaan gemilang sebagai juara Liga A1 2024/25 dengan membelasah Machan 7-2 yang menyaksikan penyerang import dari Ghana, Fuseini Issah, cemerlang dengan ledakan hatrik dan usai perlawanan, masa depan pengendali K. Devan mencuri tumpuan.
Selaku juara, Melaka membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.
Must-Watch Video