Skip to main content

Bola Sepak

Lewandowski puji 'kegilaan' Coutinho, beri Dortmund amaran

philippe-coutinho.jpg
Robert Lewandowski memuji kualiti yang dimiliki rakan sepasukan barunya, Philippe Coutinho, sambil menegaskan Bayern Munich masih memiliki skuad yang lebih baik berbanding seteru Bundesliga, Borussia Dortmund.

Bayern menamatkan musim lalu dengan kelebihan dua mata di atas Dortmund untuk mempertahankan kejuaraan liga dan menambah enam tenaga baru dalam jendela perpindahan yang akan ditutup Isnin ini.

Coutinho tiba ke pasukan itu minggu lalu hasil perjanjian pinjaman jangka panjang dan melakukan penampilan pertamanya selaku pemain gantian ketika Bayern menewaskan Schalke 3-0 di Veltins Arena, Sabtu lalu, di mana Ivan Perisic turut diberikan peluang sama.

Lewandowski, yang menjaringkan hatrik untuk mengumpulkan lima jaringan daripada dua perlawanan musim ini, berasa kagum dengan nilai tambah yang dibawa Coutinho ke dalam pasukan itu.

"Hantaran terakhirnya amat gila, dia boleh menjadi kunci dalam perlawanan penting, terutama dalam Liga Juara-Juara," katanya kepada Sport Bild.

"Kami lebih sukar untuk diramalkan sejak kemasukannya, ia menjadikan kami lebih berbahaya.

"Dia boleh beraksi sebagai pemain nombor 10, di bahagian kiri dan mungkin juga bahagian kanan.

"Kami boleh beraksi dengan sistem berbeza. Kami mempunyai lebih pilihan sekarang," katanya.

Bayern terikat 2-2 dengan Hertha Berlin dalam perlawanan pertama dan ketinggalan dua mata di belakang Dortmund, yang mendaftarkan Nico Schulz, Thorgan Hazard, Julian Brandt dan bekas pertahanan Bayern, Mats Hummels, sebagai pemain baru.

Sebelum ini, Lewandowski meluahkan kekecewaannya apabila Bayern kurang aktif dalam jendela perpindahan, namun dengan penambahan terbaru itu, ia meningkatkan keyakinannya bahawa juara bertahan itu memiliki lebih kualiti berbanding BVB.

"Dortmund sudah melakukan usaha yang baik, mereka memiliki skuad yang besar.

"Namun, ia bukan tentang kuantiti tetapi kualiti.

"Dan sudah pasti, kami memiliki pemain yang lebih berkualiti," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video