Perak berdepan kemungkinan masalah untuk mendapatkan lesen Liga Malaysia (Liga-M) 2023.

Ia susulan kegagalan mereka menghantar pasukan untuk bertanding dalam Piala Presiden dan Piala Belia 2021 serta masalah tunggakan gaji pemain yang dianggarkan RM2 juta.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, pasukan pembangunan merupakan salah satu kriteria untuk pelesenan kelab bagi menyertai kejohanan domestik, Liga-M.

Badan induk bola sepak negara itu menetapkan setiap kelab Liga Perdana perlu menghantar sekurang-kurangnya sebuah pasukan yang terdiri daripada pemain 15-21 tahun.

"Perak perlu menyerahkan dokumentasi untuk menjawab kriteria sedia ada (pasukan bawah umur).

"Proses ini baru sahaja bermula, isu ini lebih kepada isu tahun depan.

"Tarikh akhir untuk dokumentasi diserahkan ialah 30 Jun depan," kata Stuart.