BOLA SEPAK
Legenda bola sepak negara Anuar Abu Bakar meninggal dunia
Negara kehilangan seorang lagi legenda bola sepak apabila bekas pemain kebangsaan, Anuar Abu Bakar, menghembuskan nafas terakhir kira-kira 9.30 malam tadi.
Allahyarham yang genap 48 tahun pada 28 April lepas, menghidap kanser hati tahap empat, telah disahkan meninggal dunia di Hospital Shah Alam, Selangor dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pagi tadi.
Pemain kelahiran Muar, Johor yang beraksi dalam posisi tengah dan penyerang, pernah mewakili skuad Harimau Malaya antara 1993 hingga 1997 dalam kejohanan seperti Pestabola Merdeka (1995), Sukan SEA Thailand (1995) serta Kejohanan Piala Tiger di Singapura (1996).
Iklan
Allahyarham yang terkenal di kancah Liga Malaysia dengan gelaran 'Supersub’ kerana kelincahannya menjaringkan gol pada minit-minit terakhir perlawanan yang mampu mengubah keputusan perlawanan pada era 90-an.
Beliau pernah membantu skuad ‘The Red Giants’ (Selangor) muncul juara Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih, termasuk treble pada 1997 selain pernah bermain untuk pasukan Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan MPPJ Selangor.
Anuar turut pernah menaruh bakti dalam bidang kejurulatihan apabila pernah berkhidmat sebagai jurulatih PKNS FC, T-Team dan pasukan Bawah-15 tahun Johor Darul Ta’zim selain menjadi penolong jurulatih Selangor.
Terakhir, beliau berkhidmat sebagai ketua jurulatih skuad Piala Presiden UiTM FC.
Bekas pemain kebangsaan, Muhammad Shahrom Abdul Kalam antara individu yang mengucapkan takziah buat arwah menerusi laman media sosial.
“Semoga arwah Coach Anuar Abu Bakar ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Bila seseorang guru/coach mengajar kamu dan beliau sudah tiada, ilmu beliau akan tersemat di dalam sanubari diri ini...Al-Fatihah coach Anuar Abu Bakar.
“Kata-kata terngiang-ngiang ‘capt! malam ni kita buat sejarah! Selawat banyak-banyak.’ Kata-kata arwah pada malam final 2015. Semoga arwah tenang di sana,” kata pemain PKNS FC itu menerusi laman Twitter.
Muhammad Shahrom merujuk kepada final Piala Malaysia 2015 yang menyaksikan Selangor menewaskan Kedah 2-0 di Stadium Shah Alam, yang mana beliau menjadi kapten skuad Merah Kuning manakala Anuar berkhidmat sebagai penolong jurulatih kepada Mehmet Durakovic.
Turut berkongsi kesedihan ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong, Persatuan Bola Sepak Malaysia, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Johor Darul Ta’zim serta para pemain, jurulatih dan penyokong bola sepak tempatan.
Sebelum ini, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama FAS telah mengumpul sebanyak RM33,624 menerusi ‘Tabung Legenda Anuar Abu Bakar’ yang dilancarkan pada akhir Mac.
Sumbangan telah diserahkan kepada anaknya, Amriq Shah ketika aksi Liga Super antara Selangor dan Melaka United di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video