Skip to main content

Bola Sepak

Lega tak perlu berdepan Nwakaeme

igor-zonjic.jpg
Pertahanan Terengganu FC, Igor Zonjic, mengakui pasukannya tidak boleh 'goyang kaki' walaupun Pahang tempang tanpa kelibat penggempur berbisa, Dickson Nwakaeme, untuk aksi suku akhir pertama Piala FA, malam ini. 

Skuad Peteh mendapat khabar gembira apabila 'orang besi' Pahang, Nwakaeme, mengalami kecederaan hamstring dan kehilangannya akan memudahkan tugas benteng akhir anak buah Irfan Bakti Abu Salim itu dalam aksi penting di Kuala Terengganu. 

Namun, Zonjic tetap tidak mahu bersenang-lenang apabila menganggap penggempur yang lain juga mampu memberi ancaman kepada pasukannya.

"Ia satu berita buruk buat pasukan lawan tetapi ia satu berita menguntungkan buat saya.

"Dia seorang pemain yang cukup bagus. Dia tegap selain memiliki kemahiran yang baik dan sudah tentu perkembangan ini satu berita baik buat kami. 

"Tetapi itu tidak bermakna kami akan mengambil mudah kelibat penyerang Pahang yang lain.

"Mereka juga penyerang yang bagus tetapi ketiadaan Nwakaeme amat melegakan kami," katanya. 

Benteng Terengganu itu gagal dalam usaha merantai Nwakaeme sebelum ini. Situasi itu menyaksikan mereka dibelasah 0-3 setelah penyerang dari Nigeria itu cemerlang ketika bertindak sebagai watak pemusnah.

Bagaimanapun, pertahanan kelahiran Serbia berusia 28 tahun itu optimis episod duka itu tidak akan berulang.

"Kali ini, pasukan ini akan berwajah baru.

"Kami dibarisi ramai muka baru dan kami mula serasi, itu akan mencetuskan masalah buat Pahang," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video