Debaran dan kehangatan pertembungan puncak Liga Super minggu kelapan semakin dirasai dengan juara sembilan musim berturut-turut, Johor Darul Ta'zim menanti kunjungan Kedah Darul Aman dengan berada di kemuncak prestasi.
Biarpun JDT muncul satu-satunya pasukan yang mengekalkan rekod sempurna dan hanya dibolosi satu gol, ia tidak sedikit pun menggentarkan kem Kedah yang menjanjikan kualiti permainan tersendiri 'Nafuzi ball' di laman keramat Stadium Sultan Ibrahim esok.
Laungan keyakinan itu disuarakan perancang tengah Hijau Kuning, Lee Tuck yang melabel aksi itu sebagai pertembungan falsafah bola sepak moden terbaik di Malaysia.
Pemain naturalisasi negara itu memberikan bayangan Kedah akan mengekalkan corak permainan menyerang, seiring dengan gaya permainan Nafuzi Zain, sesuatu yang tidak dilakukan pasukan pelawat pada tiga kunjungan pertama musim ini.
"Kami bermain bertemu JDT di tempat lawan. Kami menyedari bakal berdepan lawan yang sukar namun ia tidak menolak peluang untuk kami menghadapi perlawanan ini dengan sasaran untuk mendapatkan kemenangan," katanya.
"Kami berharap untuk bersedia menghadirkan permainan yang terbaik. Kami akan menerapkan corak permainan kami dan bermain dengan penuh kualiti."
Sementara itu, Lee Tuck enggan terlalu memikirkan ketiadaan dua tonggak utama di bahagian pertahanan, Wan Amirul Afiq serta Ariff Farhan Md Isa yang tidak dapat beraksi ekoran pergantungan perlawanan.
"Ia adalah peluang buat pemain yang bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan dan membuktikan kemampuan mereka."
Ammar Hakim
Sat Apr 08 2023