Skip to main content

Bola Sepak

Latihan hari cuti bukan satu hukuman -- Tuchel

tuchel.jpg
Thomas Tuchel menafikan dia bertindak menghukum pemain Chelsea dengan mengarahkan mereka untuk mengadakan latihan pada Ahad lalu walaupun mereka dijadualkan bercuti. 

Timbul khabar angin bahawa bilik persalinan kelab yang berpangkalan di London itu sedang bergolak dan keputusan seri 2-2 dengan Wolves, hujung minggu lalu, sekadar menyapu lagi garam di luka The Blues yang menyaksikan mereka menyerahkan kelebihan 2-0 menuju ke 12 minit terakhir.

Chelsea akan berdepan Leeds United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok sebelum berentap dengan Liverpool untuk bergelar jaguh Piala FA, Sabtu ini. 

Ia adalah minggu yang besar buat kelab tetapi dalam masa yang sama Tuchel terpaksa membatalkan hari cuti pemainnya demi memperkemaskan barisannya.

Pengurus itu berkata: "Kami telah merancang hari cuti tetapi selepas dilanda kekecewaan lalu, ia bukanlah satu bentuk hukuman ke atas  mereka.

 

"Mungkin ada yang berasakan begitu tetapi tidak kerana ini bukan masa untuk hari yang lapang. 

"Saya menjelaskan bahawa lebih baik untuk bersama dan bercakap mengenainya daripada pulang dan setiap orang meluangkan masa masing-masing. Setiap orang ada pendapat dan pandangan tersendiri. 

"Justeru, ia lebih berisiko dan lebih elok jika kami terus berkumpul."

Pengendali itu juga mendedahkan Chelsea hanya menjalani latihan ringan sambil meluangkan masa membincangkan pendekatan untuk menghadapi hari-hari seterusnya".

Advertisement

Must Watch Video