Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Lang Merah mahu bebas kecederaan

baddrol-bakhtiar.jpg
Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, menaruh harapan agar semua pemainnya dapat turun beraksi dalam aksi Liga Super bertemu PKNS, Selasa ini.

Aidil berkata ia sebagai persiapan menilai keupayaan pasukan sebelum pertemuan lebih getir dalam separuh akhir Piala FA bertemu Felda United di Stadium Darul Aman, Sabtu depan.

"Dapat menurunkan kesemua pemain utama (malam tadi) sangat penting bagi melihat kemampuan dan persediaan pasukan.

"Insya-Allah kami akan akan lebih bersedia ketika bertemu PKNS di Shah Alam dan saya harap semua pemain dan dua pemain import baru dapat beraksi dengan baik walaupun tempoh singkat untuk mengembalikan kekuatan menjelang perlawanan seterusnya.

"Saya juga berharap Jonatan Jesus Bauman kembali beraksi dan tiada pemain yang tercedera selepas pertemuan tersebut," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan bertemu Pahang yang berkesudahan seri 0-0 tanpa jaringan, malam tadi.

Mengulas perlawanan itu, Aidil berkata secara keseluruhannya Kedah bermain agak baik pada 15 minit terahir perlawanan apabila banyak mencipta peluang dan melakukan serangan ke kubu Pahang. 

Katanya lagi, walaupun turun tanpa beberapa tonggak utama, barisan pemainnya mampu memberi saingan yang sengit kepada Pahang hasil semangat berpasukan.

"(Walaupun) tanpa tonggak utama, itu bukan alasan kerana Pahang juga turun tanpa tiga pemain utama dan kami akan terus memperbaiki kelemahan yang ada menjelang dua perlawanan tersebut," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, berpuas hati dengan permainan mantap yang ditonjolkan pemainnya.

"Kami juga banyak mencipta peluang, cuma tidak bernasib baik untuk membuat jaringan, itu saja," katanya.

Dollah turut memuji gandingan dua pemain import, Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi, yang kembali daripada kecederaan dan bermain dengan baik di samping berharap keserasian dua pemain itu lebih menyerlah dalam perlawanan akan datang.        

-- BERNAMA  

Advertisement

Must Watch Video