Skip to main content

Bola Sepak

Lang Merah hukum kelekaan Semut Merah

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

andik-vermansyah.jpg
Kedah terus memperagakan aksi konsisten dalam saingan Liga Super selepas melakar kemenangan  ketiga berturut-turut menerusi kejayaan menumpaskan PKNS 2-0 di Stadium Darulaman, malam tadi. 

Turun tanpa ramai tonggak utama, termasuk Sandro da Silva, rentak skuad Lang Merah itu tidak terjejas ketika melayani kunjungan PKNS yang turun dengan misi ingin menebus maruah selepas dimalukan Selangor dalam Piala FA.

Bekas pemain Kedah, Khyril Muhymeen Zambri, melancarkan serangan awal yang menarik pada minit keenam yang disambut Rafael Ramazotti, namun sempat dinafikan Mohd. Ramdhan Ab.Hamid.

Kedah berada di depan pada minit ke-17 menerusi larian pantas Mohd. Akhyar Rashid dari sebelah kiri yang memperdayakan K. Reuben sebelum gerakan itu disudahkan Paulo Rangel.

Baddrol Bakhtiar hampir meledak gol kedua Kedah pada minit ke-20, namun sepakan deras dari luar kotak penalti dinafikan penjaga gol, Shahril Saari.

Lima minit sebelum babak pertama tamat, salah faham di antara Shahril dan pertahanan dihukum Andik Vermansah yang mudah menyepak masuk bola ke dalam gawang yang ternganga luas.

Semut Merah memperbaiki rentak pada babak kedua melalui kemasukan Faris Ramli dan Nazrin Syamsul Bahri tetapi masih gagal menembusi gawang Kedah.

Beberapa peluang dimiliki Ramazotti dan Faris pada penghujung perlawanan gagal menuju tepat ke arah gol untuk mengubah kedudukan perlawanan. 

"Tahniah dan terima kasih kepada pemain. Yang pasti, pada malam ini (tadi) kami turun dengan misi tanpa dibolosi. 

"Apapun, kami mengambil kesempatan ke atas pasukan lawan yang beraksi dalam saingan separuh akhir Piala FA tempoh hari," ujar jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff.

Sementara itu, pengendali PKNS, Datuk K. Rajagobal, berkata: "Kami bermula dengan baik. Gol pertama disebabkan pertahanan kami yang leka manakala gol kedua kerana kesilapan membuat keputusan."
 

Advertisement

Must Watch Video