Skip to main content

Bola Sepak

Lampard mampu gilap bakat Van de Beek

van-de-beek.jpg
Donny van de Beek menjangkakan bakal menimba banyak ilmu daripada pengurus baru Everton, Frank Lampard, selepas melengkapkan perpindahan pinjaman ke Goodison Park daripada Manchester United.

Pemain antarabangsa Belanda itu telah diberi peluang untuk memulakan kariernya bersama Everton dalam pusingan kedua musim ini berikutan tempoh mengecewakan di United.

Van de Beek gagal memulakan satu perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pun buat The Red Devils musim ini selain diturunkan dalam barisan permulaan sebanyak 19 kali sejak dibeli daripada Ajax pada September 2020.




Malah, hanya sekali Van de Beek memulakan perlawanan berturut-turut buat kelabnya iaitu ketika menentang Istanbul Basaksehir dan Southampton pada November 2020.

Begitupun, pemain berusia 24 tahun itu percaya dia mampu meningkatkan tahap permainannya di bawah bimbingan Lampard yang secara rasmi dilantik sebagai pengganti Rafael Benitez tengah malam tadi. 

Lampard merupakan pemain tengah yang paling banyak menjaringkan gol dalam sejarah EPL menerusi 177 gol dan 102 bantuan jaringan untuk berada di kedudukan keempat. 

"Saya mengadakan pertemuan yang sangat positif dengan pengurus baru. Kami mempunyai idea yang sama tentang bola sepak dan dia banyak mempengaruhi terhadap keputusan saya ini," kata Van de Beek kepada Everton TV.

"Saya pernah beraksi menentangnya ketika di Ajax dan ketika itu dia berada di Chelsea (sebagai ketua jurulatih), jadi dia mengenali saya sebagai pemain. Dia fikir saya mempunyai kualiti yang boleh membantu pasukan.

"Saya boleh belajar banyak daripadanya kerana kami di posisi yang sama -- pemain tengah yang menjaringkan banyak gol. Dia boleh banyak membantu saya, jadi saya fikir saya berada di tempat yang baik.

"Saya mahu bertambah baik bersama Everton. Sentiasa ada aspek yang boleh menjadi lebih baik lagi dan saya sedia bekerja keras setiap hari untuk melakukannya."

 

Advertisement

Must Watch Video