Skip to main content

Bola Sepak

Kuala Lumpur terlepas khidmat De Paula

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

de-paula.jpg
Pasukan Liga Super, Kuala Lumpur, terpaksa melupakan khidmat penyerang, Guilherme de Paula, untuk dua aksi liga selepas pemain kelahiran Brazil itu didapati bersalah oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana berkelakuan ganas.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu, menjelaskan tindakan itu diputuskan ke atas pemain berkenaan yang didapati bersalah menumbuk pemain Selangor, Abdul Halim Zainal, ketika aksi Liga Super di antara kedua-dua pasukan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 7 April lalu.

Nasib sama turut menimpa ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Joaquim Maciel Da Silva, yang digantung dua perlawanan, termasuk satu perlawanan secara automatik selain didenda RM2,000.

Dia didapati bersalah kerana mencekik leher dan menolak pemain Selangor, Mohd Amri Yahyah, dalam aksi yang sama pada 7 April lalu.

Baljit berkata hukuman ke atas kedua-dua individu berkenaan tidak boleh dirayu dan mereka bakal berdepan tindakan lebih tegas jika mengulangi kesalahan yang sama.

Sementara itu, pasukan Liga Perdana, Felcra FC, didenda RM3,000 kerana gagal melunaskan tunggakan gaji kepada bekas pemain dan jurulatihnya, Azi Shahril Azmi dan Yusri Che Lah.

Felcra FC gagal melunaskan tunggakan gaji RM65,000 kepada Azi Shahril selain tunggakan RM120,000 kepada Yusri.

Baljit menegaskan Felcra FC perlu menjelaskan kesemua tunggakan gaji dalam tempoh 30 hari bermula hari ini, atau berdepan tindakan lebih tegas jika gagal berbuat demikian.


Kredit foto: Asiana.my

Advertisement

Must Watch Video