Tonggak pertahanan Kuala Lumpur City, Giancarlo Gallifuoco, menegaskan skuad Warga Kota sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk berdepan Selangor dalam perlawanan Liga Super membabitkan 'derby' Lembah Klang, Jumaat ini.

Untuk rekod, selepas empat perlawanan Kuala Lumpur City menghuni kedudukan ke-11 liga hasil tiga keputusan seri serta sekali tewas.

"Pasukan bersemangat tinggi untuk menghadapi perlawanan getir minggu ini.

"Kami teruja memandangkan aksi derby sentiasa menuntut aksi terbaik pemain.

"Ia tekanan buat kami dan kami akan turun sebagai 'underdog' kerana Selangor sebuah pasukan yang mantap," katanya di Stadium KLFA hari ini.





Jelas pertahanan tinggi lampai itu, dia dan rakan sepasukan perlu memberikan tumpuan khusus kepada pemain sayap Gergasi Merah, Faisal Halim, yang dilihat mampu menjadi duri dalam daging buat anak buah Bojan Hodak itu.

Gallifuoco turut mengakui kehadiran bekas penjaring terbanyak Selangor musim lalu, Herlison Caion, mampu jadi rahsia ampuh buat mereka dalam misi buru kemenangan sulung Liga Super 2023.

"Faisal telah merakamkan lima bantuan jaringan setakat ini.

"Kalau kami dapat merantainya maka kami mampu menutup tempat yang mampu mereka tembusi.

"Apun pun, kami perlu hormati semua pemain lawan.

"Motivasi Caion pula makin meningkat, saya pasti dia mahu Selangor berwaspada dengannya," katanya lagi.