LIGA SUPER MSIA
Kuala Lumpur City lanjut episod kalah Sri Pahang
SRI PAHANG 1 KL CITY 2
Sri Pahang FC gagal keluar daripada igauan buruk minggu lalu apabila kekecewaan mereka berlarutan selepas tumbang kepada Kuala Lumpur City 1-2, sebentar tadi.
Tok Gajah berpeluang untuk menghambat kedudukan kelab di tangga kedua Liga Super, Selangor FC -- yang tunduk 0-1 kepada PDRM FC malam tadi -- tetapi mensia-siakan kesempatan bermain di Stadium Darulmakmur.
Iklan
Pemain import Warga Kota, Tchetche Kipre, bijak menghidu peluang menarik seawal minit kelima apabila melakukan tendangan awal untuk memerangkap tindakan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan, yang terburu-buru meluru ke depan.
Satu lagi kesilapan di bahagian penjaga gol tetapi kali ini tidak menyebelahi Kuala Lumpur apabila Azim Al-Amin Kamaruddin melepaskan sepakan penalti yang disempurnakan Stefano Brundo pada minit ke-58.
Namun, ketika penyokong menagih kebangkitan untuk menang di hujung perlawanan, barisan kendalian Bojan Hodak sebaliknya merobek gawang Sri Pahang.
Nyata sepakan percuma daripada ketua pasukan Kuala Lumpur, Paulo Josue, ke penjuru kanan melepasi jangkauan Izham untuk gol kemenangan 2-1 ketika berbaki 14 minit permainan selain satu lagi jaringan pelawat oleh Herlison Caion dibatalkan akibat ofsaid.
Sementara itu, tuan rumah, Kuching City juga tidak menunggu lama untuk meledak gol ekoran kealpaan benteng Negeri Sembilan FC yang pantas dihukum Zahrul Nizwan Joe Kifli yang meloloskan diri daripada perangkap ofsaid, seterusnya meledak gol pembukaan.
Bagaimanapun, kelebihan itu tidak kekal lama apabila skuad Jang mengikat kedudukan 1-1.
Jaringan itu hadir menerusi Casagrande pada minit ke-34.
Permainan bertambah rancak dalam babak kedua yang menyaksikan Nasrullah Hanif hampir meletakkan Negeri Sembilan di depan pada minit ke-71, namun tandukanya menggegar tiang gol Kuching City.
Asakan bertali arus tuan rumah juga gagal menambah sebarang jaringan untuk kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.
Must-Watch Video