Skip to main content

Bola Sepak

Kritikan peminat Real buat Marcelo menyedihkan -- Zidane

marcelo-cropped_100zgbf30qvb119uoeo5kb4zdo.jpg
Zinedine Zidane mengakui pasukannya harus sentiasa mencatat kemenangan tetapi kritikan terhadap Marcelo selepas saingan Copa del Rey baru-baru ini adalah menyedihkan.

Real tewas 4-3 di tangan Real Sociedad, Khamis lalu, sekali gus tersingkir di peringkat suku akhir tatkala keputusan itu mengecewakan peminat di Santiago Bernabeu.

Ketinggalan 4-1 pada satu ketika, gol lewat daripada Rodrygo Goes dan Nacho jelas mengembalikan maruah Los Blancos.

Zidane menggunakan aksi itu untuk menurunkan beberapa pemain simpanan dan walaupun mengharungi penampilan ke-500 buat Real pada bulan lalu, Marcelo dilihat bukan lagi pilihan utama di posisi bek kiri.

Ferland Mendy tampak menjadi pilihan Zidane dan walaupun Marcelo meledakkan gol pertama, pemain Brazil itu tidak terlepas daripada kritikan susulan kekalahan di tangan Sociedad.

Pemain seperti James Rodriguez, Nacho, Alphonse Areola dan penggempur, Brahim Diaz, dilihat bergelut untuk menampilkan kemampuan sebenar di atas padang.

Namun, apabila ditanya mengenai Marcelo, Zidane berkata: "Ia mengecewakan kerana dia memberikan segalanya apabila turun beraksi, bukan sahaja Marcelo tetapi semua pemain.

"Namun, ia tidak mengubah apa-apa. Saya boleh kata ia menyedihkan, tidak bagus kerana mereka beraksi dan mencuba yang terbaik.

"Peminat ada di sana menyaksikannya. Peminat mempunyai peranan walaupun mereka akan kecewa apabila kami tersingkir. Namun, saya yakin mereka tahu tentangnya 100 peratus.

"Saya fikir Marcelo telah memberikan segalanya. Anda harus bersedia apabila tewas. Apabila tewas, segalanya diteliti. Perkara penting adalah pemain memberikan 100 peratus dan itu yang dia lakukan.

"Dia menjadi pemain penting selama beberapa tahun dan saya pasti Marcelo akan terus menjadi tonggak utama sehingga tamat musim.

"Sukar untuk tampilkan aksi terbaik dalam 50 hingga 60 perlawanan, jadi akan ada naik dan turun. Perjalanan masih jauh dan semua orang diperlukan sehingga akhir musim."



Editor: Nafis Abdullah

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found