Skip to main content

Bola Sepak

Kraljevic mahu jentera serangan tajam di Kuching

marko-kraljevic.jpg
Ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Marko Kraljevic, mengakui ketumpulan jentera serangan Kelantan cukup meresahkannya dalam aksi penting Liga Perdana menentang Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, petang ini. 

Kehilangan penyerang utama, Raul Tarragona, yang mengambil keputusan meninggalkan pasukan memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan TRW terpaksa bergantung kepada penyerang muda yang kurang berpengalaman.

"Kami tidak dapat menjaringkan gol dan ini menjadi masalah besar ketika menentang Selangor dan Terengganu FC II di gelanggang sendiri.

"Kami boleh meningkatkan variasi serangan tetapi belum cukup bagus untuk menjaringkan gol," katanya.

Bagaimanapun, pengendali berusia 53 tahun itu memuji benteng pertahanan yang beraksi cemerlang biarpun kehilangan khidmat  kapten, Cassio De Jesus, akibat kecederaan.

"Ia berbeza dengan benteng pertahanan yang diketuai Farisham (Ismail) yang semakin mantap dan mampu menyerap asakan penyerang lawan dalam dua aksi terakhir," katanya.

Berdasarkan prestasi dan perkembangan terkini pasukan, Kraljevic mengakui TRW pasti berdepan kesukaran kerana skuad Bujang Senang itu pasti mahu mencipta kemenangan untuk keluar daripada zon penyingkiran.

"Tentu tugas sukar kerana pemain mereka (Sarawak) berada dalam moral terbaik selepas berjaya mengikat pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) II, di tempat lawan.

"Bagaimanapun cabarannya, kami perlu ke sana dengan semangat yang kuat. Kami perlu pergi dan balik dengan kemenangan,"katanya.

Untuk rekod, TRW kini berada di tangga kesembilan liga dengan enam mata hasil daripada satu kemenangan dan tiga kali seri manakala Sarawak di tangga ke-10 dengan empat mata.

Advertisement

Must Watch Video