Skip to main content

Bola Sepak

Kovac yakin Bayern julang Bundesliga susulan kontroversi VAR

niko-kovac-cropped_1ho3sdsyu5prn1dbgif6hftqr0.jpg
Niko Kovac mempertahankan Bayern Munich bakal mengesahkan kejuaraan Bundesliga pada hari terakhir saingan selepas hajat itu disekat akibat penggunaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).

Leon Goretzka menyaksikan jaringannya dibatalkan pada minit ke-51 dalam aksi tanpa jaringan menentang RB Leipzig semalam, selepas Robert Lewandowski didakwa berada di posisi ofsaid.

Presiden Bayern, Uli Hoeness, menyifatkan keputusan itu sebagai "jenaka tahunan" tetapi Kovac tetap mempertahankan sistem tersebut walaupun penggunaan teknologi itu dilihat mengganggu situasi getir.

"Saya sentiasa katakan bahawa saya rakan VAR," katanya.

"Apa yang dilihat, mungkin ia sedikit ofsaid. Bagi saya, persoalan tunggal dalam situasi ini adalah, di mana butang henti ditekankan? Jika saya lakukan terlalu lewat, ia boleh jadi ofsaid dan kalau terlalu awal, tidak ofsaid.

"Saya rasa anda perlu menekan 100 kali tetapi saya tidak tahu jika ia boleh dilakukan. Namun, ia ofsaid dan saya tidak mahu bincangkan lagi."

Tatkala Bayern terikat 0-0 di Red Bull Arena, Borussia Dortmund meraih kemenangan 3-2 ke atas Fortuna Dusseldorf, membuatkan anak buah Kovac kini hanya dua mata mengatasi pencabar terdekat itu dan saingan berbaki satu perlawanan sahaja.

Bayern akan bertemu Eintracht Frankfurt di Allianz Arena Sabtu depan sambil Dortmund bertandang ke Borussia Monchengladbach pada waktu yang sama dan Kovac berharap agar pasukan kendaliannya dapat menjalankan tugas membenam bekas majikannya itu.

"Kami berpeluang untuk bergelar juara pada minggu depan berbekalkan satu mata atau satu kemenangan," katanya.

"Kehidupan menuliskan kisah terbaik. Saya boleh hadapi bekas pasukan dan cuba memenangi kejuaraan.

"Walaupun saya tahu Frankfurt mempunyai matlamat dan mereka juga mahu menyertai saingan Eropah, bukan sahaja Liga Europa tetapi Liga Juara-Juara, ia tidak akan mudah."

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bayern, Karl-Heinz Rummenigge, mengesahkan Thiago Alcantara mengalami kecederaan lutut ketika bertemu Leipzig tetapi dijangka dapat diturunkan dalam perlawanan terakhir.
 

Advertisement

Must Watch Video