Skip to main content

Bola Sepak

Kovac mahu Bayern kekal rendah diri

niko-kovac-serge-gnabry.jpg
Niko Kovac tidak mahu Bayern Munich hilang fokus meskipun selepas membelasah Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Juara Jerman itu menampilkan persembahan hebat di London tatkala mereka memalukan finalis musim lalu itu.

Walaupun gembira dengan keputusan yang diraih, skuad kendalian Kovac itu perlu melupakan kemenangan itu menjelang pertemuan dengan pasukan yang kini bergelut, Hoffenheim, di Allianz Arena, esok.

Bayern naik ke tangga teratas Bundesliga selepas menewaskan pasukan terbawah, Paderborn, 3-2 minggu lalu dan pengendali itu mahu anak buahnya mengekalkan prestasi sebelum tempoh rehat antarabangsa.

"Kami perlu kekalkan konsentrasi," katanya.

"Kami berdepan finalis Liga Juara-Juara musim lalu, Selasa lalu. Kami mengalami masalah dalam 25-30 minit pertama tetapi kemudian menguasai permainan. Kami tidak boleh mendominasi selama 90 minit.

"Ia satu aksi hebat daripada kami tetapi perlu mengekalkan prestasi berdepan Hoffenheim. Kami perlu berpegang kepada objektif, kekal rendah diri dan terus berusaha."

Serge Gnabry menyinar ketika berdepan Spurs tatkala bekas pemain sayap Arsenal itu menjadi pemain kedua Jerman menjaringkan empat gol dalam satu aksi Liga Juara-Juara.

Robert Lewandowski menghasilkan dua gol sambil Joshua Kimmich menambah satu jaringan.

"Dia sangat gembira, seperti yang anda bayangkan," ujar Kovac mengenai Gnabry.

"Dia melalui program latihan berbeza berbanding rakan sepasukannya. Selain jaringan, saya lebih teruja melihat dia berusaha gigih mendapatkan semula bola dalam babak kedua."

Pengurus Bayern itu juga menambah: "Kami mempunyai kumpulan pemain yang berkembang bersama.

"Pemain menyerap banyak aspek dan kami mahu melihat lebih daripada mereka. Saya dapat melihatnya sekarang tetapi masih belum mencapai apa-apa."
 

Advertisement

Must Watch Video