Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Kovac: Bundesliga semakin sukar diramal

niko-kovac.jpg
Niko Kovac melontarkan amaran kepada barisan Bayern Munich agar berwaspada dengan Hannover yang diancam penyingkiran Bundesliga, yang secara tidak langsung menjadikan mereka sukar diramalkan. 

Bayern sepatutnya mengesahkan kejuaraan mereka lebih awal, hujung minggu lalu, berikutan Borussia Dortmund ditundukkan Schalke 4-2 dalam pertembungan 'Revierderby' dengan penuh dramatik dan kontroversi.

Begitupun, barisan pemain Bayern hanya mampu meraih keputusan seri 1-1 dengan Nurnberg -- maruah mereka terselamat ekoran kegagalan Tim Leibold menyempurnakan sepakan penalti. 

Ini bermakna Bayern kini dua mata di depan pencabar terdekat, Dortmund, dengan baki tiga perlawanan lagi.

Selepas melayani kunjungan Hannover -- yang terancam disingkirkan sekiranya kalah tatkala Stuttgart mengelakkan kekalahan di Hertha Berlin -- skuad dengan jolokan Bavarians itu berpeluang untuk memuktamadkan kejuaraan musim ini apabila berdepan RB Leipzig dan Eintracht Frankfurt dengan kedua-dua pasukan itu kini bersaing sengit merebut tiket kelayakan Liga Juara-Juara (UCL). 

"Empat atau lima perlawanan terakhir telah menghasilkan keputusan-keputusan mengejutkan. Kebanyakan pasukan kini bermain dengan lebih terbuka," kata Kovac dalam sidang berita pra-perlawanan sambil mengulas prestasi Hannover yang mengakhiri kemarau kemenangan sejak Februari lalu dengan mengalahkan Mainz 1-0, minggu lalu. 

"Buktinya ketika Hannover menentang Mainz di laman sendiri. Ia akan menjadikan situasi sukar buat kami tetapi kami perlu menang dan ini adalah peluang terakhir mereka.

"Saya tidak pasti adakah Hannover akan menyerang secara agresif. Kami telah menonjolkan permainan yang menarik dalam tempoh beberapa minggu yang lalu. Kalau mereka ingin mengasak, maka langkah itu lebih sesuai dengan kami.

"Pemain saya cukup sedar bahawa kami telah mensia-siakan peluang berharga di Nurnberg tetapi mereka hanyalah manusia biasa.

"Terdapat banyak keputusan yang mengejutkan, kami juga mungkin tewas."

Pertembungan 'Revierderby' itu dicemari dengan insiden kad merah ke atas Marco Reus dan Marius Wolf, termasuk Julian Weigl yang dikesan video bantuan pengadil (VAR) kerana menampan bola dengan tangan. 

Pemain Schalke, Daniel Caligiuri, membatalkan gol pembukaan Mario Gotze melalui sepakan penalti sambil pengurus Dortmund, Lucien Favre, mempertikaikan istilah peraturan semasa bola yang terkena tangan yang dilabelnya sebagai "skandal dan memalukan."

Kovac turut senada dengan rakan sejawatannya. 

"Kita perlu mengubahnya. Kita tidak boleh bermain bola sepak tanpa tangan," katanya.

"Kita memerlukan tangan ketika berlari tetapi ia perlu dinilai adakah ia disengajakan."

Advertisement

Must Watch Video