Skip to main content

Bola Sepak

Klopp tidak terkejut penampilan sulung cemerlang Keita

keita-cropped_41wut6y4zlpl17yj8eljplesx.jpg
LIVERPOOL 4 WEST HAM 0

Jurgen Klopp tidak terkejut dengan kemunculan mengagumkan Naby Keita ketika Liverpool menewaskan West Ham 4-0, semalam apabila dia selalu mengharapkan pemain tengah itu dapat menyesuaikan diri dengan pantas di kelab barunya itu.


Pemain antarabangsa Guinea, Keita, ditandatangani Liverpool tahun lalu dengan yuran yang dilaporkan £53 juta (RM277 juta) walaupun dia kekal di RB Leipzig untuk musim 2017-18.

Bahagian tengah Liverpool sering dikatakan bermasalah dalam kempen lalu kerana kekurangan kreativiti berikutan pemergian Philippe Coutinho sementara mereka juga dibelenggu beberapa kecederaan.

Tetapi Keita mempamerkan semua aksi diperlukan ketika skuad The Reds membelasah West Ham 4-0 di Anfield, dengan mendapat manfaat daripada kerja keras rakan sepasukannya untuk memberikan impak segera.

"Sudah pasti persembahan yang baik, sudah tentu," kata Klopp mengenai Keita dalam sidang media selepas perlawanan.

"Selepas enam minggu, saya tidak membuat perbezaan di antara pemain baru dan pemain lain kerana bagi saya, ia sama penting dengan Millie (James Milner) dan Gini (Georginio Wijnaldum) yang bersedia untuk membuat langkah seterusnya dalam perkembangan mereka.

"Jadi, Naby berada dalam pasukan kerana dia seorang pemain bola sepak yang sangat baik dan saya mengatakannya sejak awal bahawa dia dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan mempunyai gaya bermain sama dalam posisi sama seperti yang dilakukannya di Leipzig.

"Sudah tentu, dia boleh memainkan kedudukan yang berbeza tetapi saya rasa No. 8 adalah yang terbaik pada masa ini, jadi itu semua baik.

"Dia mempunyai banyak bantuan daripada pemain-pemain di sekitarnya. Sadio (Mane) bekerja keras dan sama seperti Gini, Millie dan Robbo (Andrew Robertson). Jadi, ia benar-benar baik. Saya gembira, sudah tentu, tetapi itulah yang kami harapkan."

Advertisement

Must Watch Video