Skip to main content

Bola Sepak

Klopp tidak cemburu lihat seteru lain berbelanja

jurgenklopp-cropped_1ri52c1pzo43l1akajud3itewx.jpg
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menafikan dakwaan dia cemburu melihat seterunya berbelanja tatkala juara Eropah itu dilihat mendiamkan diri.

Gergasi Liga Perdana Inggeris itu hanya menandatangani pertahanan berusia 17 tahun, Sepp Van Den Berg, ketika seteru mereka sibuk memperkuatkan pasukan dalam jendela perpindahan.

Manchester City mendapatkan Rodri, Manchester United meraih khidmat Aaron Wan-Bissaka dan Daniel James sambil menjangkakan ketibaan nama lain manakala Arsenal mendapat sentuhan Dani Ceballos secara pinjaman.

Tottenham Hotspur pula mencipta rekod perpindahan kelab, iaitu GBP55 juta (RM280 juta), bagi mendapatkan khidmat Tanguy Ndombele.

Namun, Klopp yang bakal mengendalikan anak buahnya berdepan Napoli dalam aksi persahabatan hari ini, menegaskan dia tidak cemburu melihat kemampuan kewangan setiap seterunya itu.

"Saya tidak boleh katakan apa-apa mengenai tindakan pasukan lain. Saya tidak tahu bagaimana mereka melakukannya. Kami perlu membayar bil. Semua perlu melakukannya dan begitu juga kami," katanya.

"Kami melabur dalam pasukan ini. Kini, tampak seperti kami tidak melakukannya tetapi kami bukanlah di syurga dan sentiasa menerima apa yang diinginkan. Anda tidak boleh lakukannya setiap masa.

"Jika anda lihat, terdapat empat kelab dalam dunia yang mampu melakukannya secara kerap, iaitu Real Madrid, Barcelona, City dan Paris Saint-Germain (PSG). Apa sahaja mereka mahu, mereka akan dapat. Anda tidak boleh bandingkannya. Itu situasi sebenar.

"Ia bukan kritikan. Saya tahu bagaimana orang akan tafsirkannya bahawa saya cemburu atau apa sahaja. Saya langsung tidak cemburu."

Sejak 2016, Liverpool telah membawa masuk beberapa nama seperti Virgil van Dijk, Mohamed Salah, Sadio Mane, Alisson, Georginio Wijnaldum, Fabinho dan Alex Oxlade-Chamberlain. 

Klopp tampak gembira dengan pasukan yang dimilikinya sambil menjelaskan akan ada peluang lain sekiranya perlu.

"Tahun ini bukan satu pengakhiran buat Liverpool. Tahun depan akan ada jendela perpindahan lain," katanya.

"Pasukan ini sangat bagus dan kami boleh laburkan banyak wang. Kini, kami perlu bekerja dengan apa yang ada."

Advertisement

Must Watch Video