Skip to main content

Bola Sepak

Klopp puji sifat kepimpinan Henderson

jordan-henderson.jpg
LIVERPOOL 2 CHELSEA 0

Jurgen Klopp memuji sifat kepimpinan dan prestasi cemerlang Jordan Henderson selepas kapten Liverpool itu memaparkan aksi luar biasa ketika membantu kemenangan 2-0 ke atas Chelsea di Anfield, malam tadi.


Sadio Mane dan Mohamed Salah menjaringkan gol dalam seprauh masa kedua untuk mengembalikan The Reds ke puncak Liga Perdana Inggeris.

Pemain tengah England, Henderson, memastikan jaringan pembukaan itu selepas dia menghasilkan umpanan yang ditanduk Mane di 'far post' pada awal babak kedua.

Pemain berusia 28 tahun itu kerap memainkan peranan selaku pemain "dari kotak ke kotak" sejak beberapa perlawanan lalu dan bantuan jaringan yang dilakukannya itu mungkin akan membuatkan Klopp meletakkan dia di posisi lebih ke depan.

"Saya sudah memperkatakannya sejak hari pertama saya tiba di sini dan pandangan saya tidak pernah berubah. Dia merupakan kapten yang hebat buat pasukan ini," katanya kepada Sky Sports.

"Sama ada di atas atau di luar padang, dia seorang yang hebat.

"Dia beraksi di pelbagai posisi yang saya paksakan dia untuk melakukannya dan dia tetap amat-amat penting.

"Tiada satupun bahagian dirinya yang tidak penting.

"Dalam tiga perlawanan terakhir, dia kelihatan membara dan ia amat bagus," katanya.

Kemenangan terbaru Liverpool itu merupakan yang keenam secara berturut-turut dalam kesemua kejohanan musim ini.

Ia juga merupakan kali pertama pasukan itu menewaskan Chelsea di Anfield dalam saingan Liga sejak 2012.

Liverpool kini kembali ke puncak Liga Perdana dengan kelebihan dua mata di depan Manchester City, yang menewaskan Crystal Palace 3-1 dalam perlawanan terdahulu.

Henderson berkata kepada Sky Sports: "Ia satu lagi kemenangan penting buat kami dalam perlawanan yang besar.

"Kami perlu menumpukan kepada diri kami, berusaha keras dalam latihan dan menyelesaikan setiap tugasan apabila kami beraksi pada pertengahan dan hujung minggu.

"Kami sedang menikmatinya, itulah yang utama.

"Kami perlu terus melakukannya," katanya.

Advertisement

Must Watch Video