Skip to main content

Bola Sepak

Klopp: Liverpool perlu tingkat persembahan sebelum berdepan City

jurgenklopp.jpg
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berpandangan pasukannya perlu mempamerkan peningkatan jika mahu mengatasi Manchester City dalam aksi Perisai Komuniti, Ahad ini.

Juara Eropah itu menghadapi aksi persahabatan berdepan Lyon semalam, ketinggalan terlebih dahulu menerusi jaringan Memphis Depay di Geneva, sebelum gol yang disumbat oleh Roberto Firmino dan Harry Wilson sementara jaringan sendiri Joachim Andersen memastikan kemenangan 3-1 memihak The Reds.

Keputusan itu hadir selepas mereka tewas 3-0 kepada Napoli di Murrayfield.

"Secara keseluruhan, ia merupakan persembahan yang lebih baik selepas kami menempuhi empat perlawanan tanpa sebarang kemenangan," kata Klopp kepada laman web rasmi Liverpool.

"Kami kini memiliki tiga hari lagi untuk membuat persiapan berdepan City dalam saingan Perisai Komuniti.

"Sememangnya saya sangat gembira tetapi saya menyedari Liverpool perlu mempamerkan aksi cemerlang untuk memiliki peluang mengatasi City.

"Man City adalah perlawanan yang berbeza berbanding sebelum ini -- anda perlu menghadapi aksi pramusim berdepan Man City untuk berdepan mereka tetapi kami tidak melakukannya!

"Buat masa ini, kami perlu memastikan tahap kecergasan pemain berada di tahap terbaik."

Firmino kembali membarisi pasukan bersama Alisson dan Mohamed Salah selepas berkhidmat untuk skuad kebangsaan masing-masing.

Kesilapan Alisson memberikan gol pendahuluan kepada pasukan lawan tetapi rakan senegaranya itu dan Salah mempamerkan kualiti ketika menyerang untuk memastikan The Reds kembali mengawal rentak permainan.

"Salah kelihatan berada di tahap terbaik dan banyak melakukan larian dan ia membantu pasukan dalam perlawanan ini," tambah Klopp.

"Firmino pula bijak mencari ruang dalam kotak penalti dan ia sangat penting untuk kami menghadapi musim baru."

Klopp mengesahkan trio itu akan terlibat berdepan City dan tidak menolak akan menurunkan mereka dalam kesebelasan utama.

"Kami perlu melihat dan meneliti perkembangan mereka.

"Mereka berpeluang berada dalam kesebelasan utama. Kami perlu melihat keadaan terlebih dahulu."
 

Advertisement

Must Watch Video