Skip to main content

Bola Sepak

Klopp lega Liverpool elak cicir mata lawan Burnley

klopp.jpg
BURNLEY 0 LIVERPOOL 1

Jurgen Klopp berasa puas -- dan sedikit lega --  selepas Liverpool mengelak daripada keciciran mata, di mana mereka meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Burnley dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Turf Moor malam tadi.

Fabinho menjadi penjaring gol tunggal Liverpool pada lima minit terakhir babak pertama selepas menerima umpanan daripada tandukan Sadio Mane.

Tetapi ia bukanlah satu kemenangan yang mudah memandangkan Burnley juga memperoleh deretan peluang terhidang dalam perlawanan itu.

Secara keseluruhan, penjaga gol Liverpool, Alisson, terpaksa melakukan lima aksi menyelamat -- rekod kedua tertingginya dalam satu perlawaan EPL selepas melakukan enam kali ketika menentang Southampton pada Mei 2021.



Walaupun Burnley berada di dasar carta EPL, Klopp sedar lawan itu mampu membuatkan pasukannya keciciran mata.

Dengan itu, pengurus berkenaan amat berpuas hati apabila pasukannya berpeluang untuk mengecilkan jurang dengan pendahulu liga, Manchester City, kepada enam mata seandainya dapat memanfaatkan kelebihan satu perlawanan dalam tangan milik mereka.

Klopp berkata kepada Sky Sports: "Ia hari yang sempurna -- hujan dan berangin. Kami menjaringkan gol daripada gerakan set-piece dan sejujurnya ia merupakan jaringan yang bijak.

"Segala yang berlaku hari ini berpotensi membuatkan kami keciciran mata. Bola di udara amat mencabar buat pertahanan kerana angin datang dari pebagai arah.

"Kami bergelut dengan situasi itu berbanding cabaran pasukan lawan.

"Kebanyakan peluang mereka ofsaid tetapi sudah pasti mereka juga memiliki momen tersendiri, itu amat jelas. Mereka mempunyai kualiti tetapi kami dapat menanganinya dengan agak baik.

"Kami perlu berusaha dengan amat kuat dan itulah yang pemain kami lakukan.

"Kami terpaksa mengotorkan baju kami. Saya amat gembira kerana saya tahu betapa sukarnya untuk bermain di sini. Amat-amat berpuas hati," katanya.

Advertisement

Must Watch Video