Skip to main content

Bola Sepak

Klopp gusar permulaan kempen terlalu awal

klopp.jpg
Jurgen Klopp menuntut rombakan jadual Liga Perdana Inggeris (EPL) tatkala Liverpool bersedia untuk kembali ke aksi kompetitif.

The Reds akan menghadapi Manchester City dalam perebutan Perisai Komuniti malam esok, kurang dua bulan sejak kemenangan mereka ke atas Tottenham dalam final Liga Juara-Juara (UCL). 

Sadio Mane diberi kebenaran untuk berehat selepas membawa Senegal ke perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2019, bulan lalu. 

Mohamed Salah, Roberto Firmino dan penjaga gol, Alisson Becker, juga masih dalam keraguan selepas menghabiskan sebahagian besar musim panas lalu untuk mengharungi kempen di Mesir atau Brazil, di mana Copa America 2019 diadakan selama lebih tiga minggu.

Klopp percaya pemain EPL berdepan tuntutan tinggi, apatah lagi tarikh tirai liga yang disingkap lebih awal berbanding liga utama di Itali, Sepanyol dan Jerman.

"Dalam perbincangan ini, seseorang harus memulakannya," kata Klopp.

"Saya bercakap dengan Carlo Ancelotti -- Itali mempunyai 20 pasukan dan memulakan musim ini pada 24 Ogos. (Kalidou) Koulibaly bermain di samping Sadio dalam AFCON dan diberikan cuti selama empat minggu. Malah, sehingga kini dia masih belum menjalani persiapan penuh. 

"Saya tidak tahu kenapa kami akan bermula awal. Tahun depan Copa America dan Euro akan diadakan tetapi kempen kami akan bermula minggu ini, saya tidak tahu mengapa.

"EPL adalah produk yang hebat dengan semua orang mahu menontonnya.

"Tiada siapa yang beraksi di seluruh dunia dalam tempoh dua minggu ini kecuali di England.

"Saya menggemari bola sepak, saya mahukan aksi. Daripada sudut pandangan saya, kami boleh beraksi setiap minggu dan saya menyukainya. Tetapi ada perkara yang perlu difikirkan mengenai soal pemain dan jelas sekali tiada siapa yang mahu bertindak. 

"Saya sering kali membangkitkan soal ini dan kemudian saya dituduh mencipta alasan tetapi kami perlulah memikirkan perkara-perkara ini dan tiada seorangpun terutama di England, benar-benar memikirkannya."

Liverpool, yang menangguhkan kejuaraan City sehingga hari terakhir, melakukan siri jelajah ke Amerika Syarikat (AS) untuk mengharungi tiga perlawanan dengan keputusan kalah dua kali dan seri sekali. 

Klopp menambah: "Kelab mahu kami mengadakan siri jelajah. Dengan siapa? Saya tidak boleh pergi bersendirian manakala saya tidak pasti adakah pemain yang saya bawa sudah cukup atau tidak. Inilah situasinya."
 

Advertisement

Must Watch Video