Skip to main content

Bola Sepak

Klopp berang perkataan tempat suci disensasikan

klopp.jpg
Jurgen Klopp mengkritik wartawan atas "permainan mudah" berhubung ulasan tentang aksi separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) di Camp Nou, awal pagi esok, selain menempelak apabila terus dikaitkan dengan bekas pemain tengah The Reds, Philippe Coutinho.

Dalam temu bual dengan DAZN sebelum perlawanan, pengurus Liverpool itu mengingatkan tentang pertemuan UCL di antara Barcelona dan Borussia Monchengladbach pada 2016 dalam usahanya untuk meredakan kekhuatiran untuk turun beraksi di salah sebuah stadium terkenal di Eropah.

"Ia bukan satu perlawanan besar memandangkan Barcelona cukup dominan tetapi adalah penting untuk kami untuk hanya menganggap Camp Nou sebagai sebuah stadium bola sepak dan bukannya tempat suci atau apa sahaja seperti itu," kata Klopp.

Kenyataan itu mengundang perhatian, termasuk pasukan media sosial Barcelona, apabila memuat naik rakaman di Camp Nou dengan menulis kapsyen: "Rumah kami. Tempat suci kami. Kubu kami."

Dalam sidang media pra-perlawanan, pengurus Barca, Ernesto Valverde, menepis andaian itu. 

"Apa yang beliau maksudkan ialah hanya dua gol sementara 22 pemain mengejar bola sepak," kata Valverde.

Bercakap selepas itu, Klopp jelas tidak senang apabila perkara itu dibangkitkan.

Dia berkata: "Ini adalah permainan yang buruk, eh ... Wartawan ...

"Saya bagaikan perlu memberikan 500,000 sesi wawancara sebelum perlawanan ini. Saya mengatakan sesuatu lalu mereka pula menulis 'beliau mengatakan tiada tempat suci dalam bola sepak!'.

"Saya sudah mengatakan 500,000 perkara positif tentang Barcelona tetapi anda pula cuba bermain mudah dengan mencetuskan isu. 

"Saya merupakan seorang peminat bola sepak yang lebih lama berbanding saya menjadi pengurus. Apa yang boleh saya katakan sesuatu yang buruk tentang stadium ini?

"Begitupun, ia masih merupakan stadium di mana anda mahu bermain bola sepak, mempamerkan permainan dan bola sepak terbaik. Itulah kebenarannya dan itulah sebabnya kami mahu mencuba."

Klopp turut berhati-hati ketika menjawab persoalan mengenai Coutinho yang tenggelam sejak berpindah ke Catalonia dari Anfield dengan nilai €160 juta (RM742.4j), Januari tahun lalu.

"Saya tahu ramai orang mengada-adakan cerita tentang itu," katanya. "Ya, kami merindui Phil Coutinho kerana dia seorang pemain bertaraf dunia.

"Saya suka bekerjasama dengannya tetapi kami terpaksa menampung ketiadaannya dan kami melakukannya dengan baik, itu sahaja yang boleh saya katakan.

"Ketika saya mula-mula mendapat tahu dia mahu pergi ke Barcelona, ​​sukar untuk saya membayangkan bahawa kami akan mengharunginya sebaik ini tanpa dia, namun ia berjalan lancar. Termasuk buat kedua-dua pasukan."

 

Advertisement

Must Watch Video