Skip to main content

Bola Sepak

Klopp belum fikir tentang Barcelona

klopp.jpg
LIVERPOOL 5 HUDDERSFIELD 0

Jurgen Klopp mendedahkan dia masih belum mencari jalan untuk Liverpool berdepan Barcelona dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL), Khamis ini.


Liverpool mempamerkan aksi cemerlang berdepan Huddersfield Town awal pagi tadi untuk kembali mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL), dengan Sadio Mane dan Mohamed Salah meledak dua gol ketika merakamkan kemenangan 5-0 sementara Naby Keita menjaringkan antara gol pembukaan terpantas selepas hanya 15 saat.

Barca merupakan halangan seterusnya di Nou Camp, namun Klopp enggan memikirkan mengenai pertembungan berdepan gergasi Sepanyol itu ketika menghadapi aksi domestik.

"Boleh anda bayangkan, saya masih belum memikirkan tentang Barca sehingga hari ini," kata Klopp.

"Saya telah menyaksikan mereka hampir 100 kali tetapi saya tidak memikirkan tentang mereka.

"Kami akan bermula sekarang, kami memiliki lima hari sebelum perlawanan, ia cukup untuk rehat, berlatih dan pulih.

"Banyak pasukan telah berusaha untuk menang di Nou Camp. Ia tidak mungkin berlaku untuk kami tetapi ia bukan satu perkara yang mustahil. Kami akan membuat perancangan tetapi bukan sekarang," katanya.

Tekanan kini beralih kepada Manchester City dalam persaingan takhta liga, dengan skuad bimbingan Pep Guardiola itu akan berdepan Burnley esok.

Sebarang kesilapan akan memberikan kelebihan kepada Liverpool ketika saingan berbaki dua perlawanan, namun Klopp enggan memandang terlalu jauh ke hadapan.

"Saya tidak tahu," kata Klopp ketika ditanya jika City akan tercicir mata.

"Kami perlu melakukan tugas kami, memenangi perlawanan dan lihat apa yang akan berlaku. Mana-mana pasukan boleh bergelar juara."
 

Advertisement

Must Watch Video