"Ada nampak Klinsmann?", itu situasi membabitkan petugas media disebalik fokus mereka juga terarah kepada perlawanan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Ulsan Hyundai untuk saingan Liga Juara-Juara Asia ACL di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Khabar mengenai kehadiran legenda bola sepak Jerman itu dilaporkan rakan setugas Fina Nasrom menerusi X dan sememangnya ia sangat mengujakan atas faktor reputasi dan tujuan Klinsmann menyaksikan perlawanan tersebut.

Klinsmann yang merupakan ketua jurulatih Korea Selatan hadir ke SSI buat pertama kali kerana dua perkara, pertama -- mahu menyaksikan kelibat pemainnya berdepan JDT dan kedua -- melihat lebih dekat pemain negara yang mewakili Harimau Selatan.

Difahamkan, seramai enam pemain skuad Horangi merupakan pemain kebangsaan Korea Selatan antaranya penjaga gol Jo Hyeon-Woo, pertahanan Kim Young-Gwon dan kapten Jung Seung-Hyun.

Kehadirannya juga secara tidak langsung memantau perkembangan pemain Harimau Malaya seperti Arif Aiman Hanapi, Ahmad Syihan Hazmi Mohamaed dan Akhyar Rashid memandangkan Korea Selatan akan berdepan Malaysia dalam kempen Piala Asia Qatar, Januari tahun depan.




Ini menandakan Klinsman yang juga anggota skuad Piala Dunia Jerman 1990 tidak mengambil mudah cabaran skuad bimbingan Kim Pan Gon dalam perlawanan peringkat kumpulan dalam kejohanan itu nanti .

Apa pun, keputusan yang memihak JDT dengan kemenangan 2-1 hasil jaringan Heberty dan Akhyar Rashid mungkin membuatkan jurulatih yang semakin tidak digemari penyokong Korea ini tidak boleh tidur lena beberapa bulan sebelum terbang ke bumi Doha.