Skip to main content

Bola Sepak

KLFA terima tamparan hebat

mahfizul.jpg
Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) menerima tamparan hebat apabila diarahkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) untuk mengadakan semula proses pencalonan bagi semua jawatan yang dipertandingkan bagi kongres ke-31 persatuan itu.

Keputusan itu dicapai PPS melalui beberapa perbincangan dan pertemuan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Kedua-dua pihak telah meneliti segala hujah berserta fakta dalam membuat keputusan bagi menyelesaikan kemelut dalaman kongres ke-31 KLFA.

Ia membabitkan pertikaian proses pencalonan ahli jawatankuasa dan presiden KLFA yang didapati PPS selaku moderator tidak dijalankan dengan telus.

Sehubungan itu, PPS bersama-sama dengan FAM menerusi surat bertarikh 22 Februari 2019 mengarahkan kongres yang tertangguh selama beberapa bulan itu perlu dilaksanakan sebelum atau pada 31 Mei 2019.

"Ia akan memastikan pemilihan lebih telus sementara ia menjadi salah satu faktor aksi kurang cemerlang daripada pasukan Kuala Lumpur yang berada di tangga tercorot Liga Super," kata ahli gabungan KLFA, Datuk Ramlan Askolani.

Ramlan selaku pihak pengadu menyifatkan keputusan itu sebagai tepat demi bola sepak Kuala Lumpur.

Terdahulu, kongres KLFA yang sepatutnya berlangsung November tahun lalu ditangguhkan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Datuk Zaiton Othman, ekoran wujud bantahan dalam kalangan ahli gabungan yang tidak berpuas hati dengan proses pencalonan untuk kongres itu.

Advertisement

Must Watch Video