Skip to main content

Bola Sepak

Kita tunggu dan lihat, kata Sathianathan mengenai pelantikan Vingada

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

280317sathianathan.jpg
Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan, berharap pengendali baru skuad kebangsaan, Nelo Vingada, diberi sedikit masa untuk membentuk barisan mantap yang mampu memberi cabaran kuat di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, katanya, jurulatih dari Portugal itu memerlukan sokongan semua pihak dalam merangka peningkatan buat skuad negara.

Sathianathan menyifatkan Vingada sebagai seorang jurulatih yang cukup berpengalaman untuk membimbing barisan negara.

Bekas pengendali kebangsaan itu juga berasa tempoh  kontrak dua tahun yang diberi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah memadai buat Vingada.

"Saya harap dia dapat menggunakan pengalamannya di negara kita dan yang paling penting, kita harus memberinya masa untuk dia ubah atau pun mendapatkan keputusan positif.

"Eloklah FAM memberinya kontrak, jadi kita tunggu dan lihatlah nanti," kata Sathianathan, yang juga percaya Vingada mempunyai perancangan taktikal tersendiri.

Memandangkan Vingada pernah menjadi penolong kepada Carlos Queiroz ketika bersama skuad bawah 20 tahun Portugal, Sathianathan menjangkakan Vingada akan mempunyai corak permainan sama dengan bekas jurulatih Real Madrid itu.

"Vingada pernah bekerja di bawah Queiroz. Jadi, dia berminat dengan corak permainan menguasai bola. Dia berminat dengan pemain yang mahir dengan kawalan bola.

"Ini kerana pasukan yang pernah dibimbingnya seperti di Jordan, Saudi dan Iran, mereka banyak tumpukan kepada pemain berkemahiran tinggi," tambahnya.

Vingada memulakan kerjaya dalam kejurulatihan sebagai penolong Queiroz untuk skuad bawah 20 tahun Portugal yang muncul juara Piala Dunia pada 1989 dan 1991.

Selepas itu, dia mengambil alih jawatan ketua jurulatih skuad bawah 20 tahun Portugal dan meneruskan kesinambungan barisan remaja dengan kemaraan ke separuh akhir Piala Dunia pada 1995 dan Sukan Olimpik 1996.

Vingada turut berpengalaman di rantau Asia selepas membimbing skuad kebangsaan Arab Saudi (1996-1997), skuad kebangsaan Jordan (2007-2009) dan skuad Sukan Olimpik Iran (2014).

Dia mengendalikan beberapa kelab utama Afrika dan Asia seperti Zamalek SC, FC Seoul, Persepolis FC dan kelab terakhir sebelum ke Malaysia ialah NorthEast United FC.

Advertisement

Must Watch Video