Skip to main content

Bola Sepak

Kimmich ragui status Sane sertai Bayern

leroysane.jpg
Bintang Bayern Munich, Joshua Kimmich, menimbulkan keraguan mengenai perpindahan Leroy Sane serta berpandangan pemain sayap Manchester City itu seharusnya sudah berada di Jerman jika mahu menyertai juara Bundesliga itu.

Spekulasi mengenai masa depan Sane menjadi suram selepas jurulatih Bayern, Niko Kovac, mendedahkan secara umum dia yakin mampu menandatangani pemain kebangsaan Jerman itu sebelum memohon maaf kepada pengendali City, Pep Guardiola, di atas kata-katanya.

Kimmich, yang bermain dalam setiap perlawanan Bundesliga musim lalu sebelum menjuarai gelaran liga buat kali keempat berturut-turut sejak berhijrah ke Allianz Arena pada Jun 2015, tidak dapat memberi maklumat mengenai situasi Sane tetapi mempersoalkan keinginannya.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam situasi ini," kata Kimmich.

"Saya berasakan kelab akan menandatanganinya.

"JIka Sane mahu sertai Bayern, dia seharusnya sudah berada di sini."

Sane menjaringkan 10 gol dalam 31 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, sekali gus membantu pasukan mempertahankan gelaran liga di samping menjuarai Piala EFL dan Piala FA, dan Guardiola mengakui sedih jika kehilangan khidmat pemain berusia 23 tahun itu.

Dia beraksi selama tiga musim sebagai pemain utama Schalke sebelum berhijrah ke Stadium Etihad pada Ogos 2016, dan Kimmich menegaskan dia tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menyaksikan Sane kembali beraksi dalam saingan Bundesliga.

"Saya tidak memiliki sebarang maklumat. Saya hanya mendengar dan membaca apa yang telah anda (wartawan) tulis. Presiden kelab (Uli Hoeness) tidak masuk ke bilik persalinan dan berkata, 'Dengar sini, kami perlukan Sane'," tambah Kimmich.

Advertisement

Must Watch Video