Penjaga gol, Khatul Anuar Md Jalil, bersikap positif dengan nasibnya setelah diketepikan daripada skuad Kuala Lumpur 2019 pada ketika dia mendapat panggilan skuad B-23 negara menjelang kelayakan Kejohanan AFC B-23 2020, Mac depan.
Khatul Anuar adalah antara enam penjaga gol skuad Kuala Lumpur musim ini, termasuk Ahmad Solehin Mamat yang mengalami kecederaan.
Namun, khidmatnya musim ini diketepikan selepas jurulatih,Yusri Che Lah, memilih tiga penjaga gol senior bagi cabaran musim 2019.
Mereka ialah Sharbinee Alawee, Faridzuean Kamarudin dan Kamarul Effandi Abdul Rahim tatkala Khatul Anuar dipinjamkan ke pasukan Liga Perdana, UKM FC.
"Saya tidak terkilan tetapi hanya berita ini diberitahu agak lewat. Bersama UKM akan membenarkan saya untuk berada dalam kesebelasan utama dan lebih banyak waktu bermain," katanya.
Situasi itu berlaku pada ketika penjaga gol berusia 22 tahun dari Kedah itu mendapat panggilan untuk menyertai kem latihan pusat skuad B-23 negara esok.
Kali kedua dipanggil selepas latihan pusat Sukan Asia 2018, Khatul Anuar bertekad membuktikan kemampuannya untuk dipilih mewakili negara dalam kelayakan AFC B-23 di Kuala Lumpur, Mac nanti.
"Saya sangat bersyukur kerana tersenarai dalam skuad B-23 negara. Saya akan cuba memberikan 100 peratus dalam sesi latihan untuk dipilih menyertai kejohanan-kejohanan yang bakal disertai."
Penulis Jemputan
Tue Jan 08 2019