Skip to main content

Bola Sepak

Khairy minta Wisma Putra kaji semula nasihat perjalanan ke Korea Utara

11517khairy.jpg
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menggesa Wisma Putra mengkaji semula nasihat perjalanan ke Korea Utara bagi mendapatkan jaminan untuk aksi skuad Harimau Malaya di Pyongyang dalam kelayakan Piala Asia 2019, 8 Jun depan.

Katanya, pendirian terkini Kerajaan Malaysia membabitkan hubungan diplomatik dengan negara itu perlu dinilai semula selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menetapkan venue bagi aksi pertama kelayakan Piala Asia di antara Malaysia dan Korea Utara kekal di Pyongyang, bulan depan.

Terdahulu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan skuad negara sepanjang berada di sana.

"Setakat ini, Wisma Putra tidak mengeluarkan apa-apa nasihat perjalanan tetapi memandangkan kenyataan Presiden FAM tadi, saya telah meminta Wisma Putra kaji semula keadaan di Korea Utara dan memaklumkan kepada saya sama ada mereka boleh keluarkan nasihat perjalanan atau tidak."

Tambah Khairy, keputusan membabitkan nasihat perjalanan akan diketahui dalam masa terdekat tetapi sukar untuk diramal memadangkan ia melibatkan hubungan kedua-dua negara.

Jelasnya, keselamatan skuad negara adalah keutamaan, namun dalam masa yang sama tidak mahu sebarang keputusan daripada Wisma Putra boleh menjejaskan hubungan dua hala.  

"Nasihat perjalanan ini satu perkara yang berat. Kalau kita keluarkannya ia ada implikasi. Kalau kita keluarkan nasihat perjalanan dan ia dilihat tidak wajar (tidak sepatut) dikeluarkan, ia boleh menjejaskan hubungan dua hala."

Advertisement

Must Watch Video