Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag, menjelaskan mengapa dia memahami keputusan Jurgen Klopp untuk meninggalkan Liverpool namun percaya ia tidak baik untuk Liga Perdana Inggeris.
Klopp yang bakal digelar 'legenda' susulan kegemilangannya bersama Liverpool, pada jumaat telah mengumumkan berita tergempar ibarat menggugurkan bom bahawa dia bakal meninggalkan The Reds selepas sembilan tahun mengemudi di Anfield dengan pasukannya kini gah di takhta liga.
Kehabisan tenaga menjadi asbab utama untuk dia meninggalkan kelab itu.
Perkhabaran mengejut itu mendapat pelbagai reaksi daripada nama-nama besar dalam bola sepak dunia termasuklah pengurus pasukan musuh utama, Ten Hag yang mengambil berat atas situasi tersebut.
Bos United itu menyuarakan bagaimana dia memahami keputusan Klopp.
"Saya boleh faham situasi itu," kata Ten Hag, dipetik oleh Daily Mail.
"Sembilan tahun adalah jangka masa yang lama. Saya fikir ia adalah tempoh membina dan mencapai sasaran, tetapi saya juga fikir ia berkenaan kemunduran prestasi dan terpaksa lalui tempoh sukar kerana Liga Perdana amat tertekan.
"Tambahan pula gabungan dengan saingan bola sepak kelab Eropah, apabila anda berada di sana selama sembilan tahun, ia adalah tempoh yang panjang dan saya mengerti dia kehabisan tenaga. Itu jadi salah satu sebab untuk dia berundur."
Walaupun Klopp mampu menjadikan perlawanan lebih kompetitif, Ten Hag percaya penyingkiran Klopp merupakan perkara yang tidak baik untuk profil Liga Perdana.
"Ia tidak bagus untuk Liga Perdana," kata Ten Hag.
"Dia telah mencipta sebuah era. Dia membina kelab itu, membawa kelab itu kembali ke momentum asalnya, tahniah untuk itu. Dia telah menjalankan tugas menakjubkan di Liverpool."
Penarikan diri Klopp dari Anfield menyaksikan seorang pengurus elit meninggalkan Liga Perdana.
Sabrina Mustaffa
Sun Jan 28 2024