Skip to main content

Bola Sepak

Ketiadaan Dollah bukan penghalang Pahang cipta kemenangan -- Rajagobal

dollah.jpg
Pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, menganggap ketiadaan Dollah Salleh dalam aksi kesembilan Liga Super, Ahad ini, bukan satu masalah bagi Pahang untuk mengutip tiga mata penuh.

Skuad Tok Gajah bakal beraksi di Stadium Shah Alam tanpa ketua jurulatih, Dollah, yang sedang menjalani kursus kejurulatihan diploma profesional AFC 2019-2020 sehingga 17 April ini. 

Bagaimanapun, Rajagobal tetap menegaskan anak buahnya untuk bermain dengan baik dan berusaha lebih keras menjelang pertemuan dengan pasukan yang berada di ranking kedua Liga Super itu ketika ini. 

Pengendali berpengalaman itu optimis skuad The Red Ants mampu menggalas tanggungjawab mereka untuk mempertahankan momentum yang cemerlang seperti dalam perlawanan di Ipoh, Ahad lalu. 

"Itu tidak akan mengganggu persiapan Pahang. Ketiadaan Dollah tidak akan melemahkan pasukan. Mereka berjaya mengatasi PJ City FC sebelum ini tanpa kehadiran Dollah," kata Rajagobal.

Rajagobal turut menyatakan bermain di laman sendiri bukan satu kelebihan buat PKNS untuk berasa terlalu yakin dan selesa. 

"Kami tidak menganggap beraksi di laman sendiri sebagai kelebihan kami. Saya mahu PKNS menampilkan permainan seperti yang diterapkan dalam sesi latihan ketika bertemu Pahang," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video