Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Kesilapan individu punca tewas -- Durakovic

perak-mehmet.jpg
Hari malang buat Perak apabila kecundang 2-3 di tangan Melaka dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.

Kekalahan yang berpunca daripada kesilapan benteng itu nyata cukup memeritkan buat The Bos Gaurus yang sedang melakukan kebangkitan selepas ketinggalan 1-2 dalam babak pertama.

Brendan Gan meletakkan tuan rumah di depan tetapi Nazrin Nawi dan Patrick Reichelt mengubah kedudukan berpihak kepada Melaka sebelum rehat.

J. Partiban kemudian menyamakan kedudukan di awal babak kedua dan tuan rumah kembali mendapat momentum tetapi peluang demi peluang gagal disudahkan selain penjaga gawang pelawat, Khairul Fahmi Che Mat, berjaya menyelamatkan percubaan Raianderson Careca dan Ronaldo Henrique Silva.

Sebaliknya, pelawat menggunakan sekelumit peluang dalam babak kedua itu apabila Reichelt yang tidak dikawal dengan mudah menolak masuk bola muntah daripada tangkapan Khairul Amri Salehuddin hasil rembatan kencang Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman pada minit ke-74.

Skrip sama setiap perlawanan, iaitu gagal menyudahkan peluang dicipta, menjadi faktor anak buah Mehmet Durakovic itu terpaksa gigit jari di akhir perlawanan.

"Kami mencipta banyak peluang tetapi gagal disudahkan.

"Sedikit kesilapan oleh individu menyebabkan kami kecundang," kata Durakovic selepas perlawanan.

Ketua jurulatih turut itu mengakui kecewa tetapi enggan menuding jari kepada sesiapa demi menjaga keharmonian dalam pasukan.

"Kami  satu keluarga. Kami bersama sewaktu menang dan kalah. Lagipun, pemain telah mempamer aksi terbaik dan mencuba sedaya-upaya.

"Ini permainan sepasukan walaupun tidak dinafikan berlaku kesilapan oleh individu," katanya.

Advertisement

Must Watch Video