Skip to main content

Bola Sepak

Kerja keras faktor kemenangan Tambadau

rodoljub-paunovic-sabah.jpg
Kerja keras dan kesungguhan adalah faktor kemenangan Sabah ke atas UKM FC dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Pengendalinya, Jelius Ating, berkata anak didiknya itu menterjemahkan kerja keras mereka dalam sesi latihan sebelum ini di atas padang sehingga menyukarkan lawan untuk mengatasi mereka.

"Pemain-pemain sangat bekerja keras dalam setiap sesi latihan dan mereka turut membuktikannya dalam perlawanan sebenar.

"Secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan prestasi pemain pada malam ini (tadi), walaupun ia bukan satu kemenangan yang mudah tetapi kami berjaya juga mengatasi lawan.

"UKM FC sebenarnya sebuah pasukan yang agak baik juga. 

"Mereka menyamakan kedudukan selepas kami menjaringkan gol pertama, namun seperti yang saya katakan, kerja keras pemain di atas padang menjadi faktor kemenangan kami," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu. 

Jelius berkata rentak kemenangan itu perlu diteruskan apabila memulakan aksi pusingan kedua Liga Perdana bagi memastikan mereka terus berada di landasan betul untuk mencapai sasaran layak ke Liga Super tahun depan.

Dalam aksi malam tadi, Sabah mendahului hasil jaringan Alto Linus pada minit ke-20 tetapi disamakan UKM FC menerusi rembatan kaki kiri Mohd Hafizi Amiruddin pada minit ke-42.

Bagaimanapun, skuad Tambadau itu kembali mendahului hasil jaringan jarak jauh Dendy Lowa pada minit ke-45 dan penyerang import mereka, Rodoljub Paunovic, kemudian mengesahkan kemenangan menerusi jaringan pada minit ke-59.

Dengan kemenangan itu, Sabah kini berada di tangga kedua liga dengan 18 mata hasil daripada lima kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan.
 

Advertisement

Must Watch Video