Skip to main content

Bola Sepak

Keputusan tidak mampan jejas kredibiliti FIFA

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

fifa.jpg
Keputusan terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang menggantung tujuh pemain naturalisasi Malaysia serta mengenakan denda terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menimbulkan pelbagai persoalan tentang konsistensi dan ketelusan badan induk bola sepak dunia ini dalam membuat keputusan yang adil dan berdaya tahan.

Sebagai organisasi yang memegang tanggungjawab menjaga integriti sukan paling berpengaruh di dunia, setiap keputusan FIFA bukan sekadar isu teknikal, tetapi membawa kesan besar terhadap kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap keadilannya. Justeru, keputusan terhadap FAM ini wajar dilihat dalam konteks yang lebih luas iaitu bagaimana proses membuat keputusan itu sejajar dengan prinsip ketelusan, konsistensi dan kebertanggungjawaban yang dilaungkan oleh FIFA sendiri.

FIFA sebelum ini pernah menunjukkan ketegasan dalam menangani isu antarabangsa. Pada tahun 2022, badan itu bersama UEFA menggantung Rusia daripada semua kejohanan susulan pencerobohan ke atas Ukraine, satu keputusan pantas yang dikatakan perlu bagi menjaga kestabilan pertandingan dan imej bola sepak dunia. Namun, dalam konflik yang berlarutan antara Israel dan Palestin, FIFA mengambil pendekatan berbeza dengan menyatakan bahawa bola sepak “tidak boleh menyelesaikan masalah geopolitik”.

Kedua-dua situasi ini menunjukkan betapa rumitnya peranan FIFA sebagai penjaga bola sepak global. Namun, ia juga membuka ruang perdebatan, adakah prinsip keadilan dan kemanusiaan diaplikasikan secara seragam, atau berubah mengikut konteks politik dan tekanan antarabangsa? Jika Rusia digantung atas alasan moral dan kemanusiaan, mengapa Israel tidak dikenakan tindakan serupa meskipun desakan terhadapnya semakin meningkat?

Dalam konteks Malaysia, isu penggantungan pemain naturalisasi ini pula menimbulkan tanda tanya dari sudut ketekalan dan kejelasan proses penilaian. Sebelum keputusan ini diumumkan, kesemua tujuh pemain tersebut telah mendapat kelulusan rasmi untuk beraksi menentang Vietnam dalam Kelayakan Piala Asia 2027 selepas melalui semakan awal yang dikatakan turut mendapat lampu hijau FIFA .

Ini bermaksud, pada peringkat awal, proses naturalisasi mereka telah melalui saluran rasmi dan memenuhi keperluan asas kelayakan. Maka apabila FIFA kemudian mengumumkan hukuman gantung serta denda terhadap FAM, ia menimbulkan persoalan sama ada berlaku kekeliruan atau ketidakkonsistenan dalam mekanisme semakan dokumen tersebut.

Malaysia sedang giat memperkukuh ekosistem bola sepak yang lebih profesional dan berdaya saing. Dalam proses pembangunan ini, sebarang kelemahan pentadbiran atau kekhilafan teknikal wajar dijadikan ruang pembelajaran bersama bukan semata-mata asas untuk hukuman. FIFA sebagai badan antarabangsa sepatutnya memainkan peranan lebih konstruktif dengan memberi bimbingan, latihan, serta tempoh pembetulan sebelum tindakan disiplin diambil. Pendekatan sebegini lebih berkesan untuk membantu negara anggota memperkukuh kecekapan dan integriti institusi sukan mereka.

Dalam konteks lebih luas, FIFA perlu memastikan setiap keputusannya berpaksikan prinsip sejagat yang konsisten, bebas daripada pengaruh politik atau tekanan ekonomi. Ketelusan dalam menjelaskan alasan di sebalik keputusan besar, serta keseragaman dalam pelaksanaan tindakan terhadap semua negara, adalah kunci untuk mengekalkan kepercayaan terhadap kredibiliti organisasi ini.

Bola sepak ialah bahasa perpaduan dunia dan setiap keputusan yang dibuat di peringkat tertinggi perlu mencerminkan nilai kemanusiaan, tanggungjawab dan keadilan. Isu pemain naturalisasi Malaysia ini bukan sekadar tentang tujuh individu, tetapi juga cerminan kepada cabaran yang dihadapi badan induk antarabangsa dalam mengekalkan prinsip keadilan sejagat. Kini, FIFA mempunyai peluang besar untuk memperkukuh kepercayaan global, bukan dengan menghukum, tetapi dengan membangun semula keyakinan melalui keadilan yang konsisten dan berperikemanusiaan.

Dr Mohd Firdaus Bin Abdullah
Timbalan Dekan Pembangunan
Fakulti Sukan dan Sains Eksesais
Universiti Malaya

 
Takraw

NIKE 15% OFF

Beli kasut dan koleksi Nike lain sekarang, nikmati diskaun 15% eksklusif!


Klik Sini Sekarang

Advertisement

Must Watch Video