Skip to main content

Bola Sepak

Kepa sedia beri saingan kepada De Gea

kepa-david-de-gea.jpg
Penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga, bersedia untuk mencabar David de Gea dalam persaingan merebut tempat dalam kesebelasan utama Sepanyol.

Pemain berusia 23 tahun itu telah membuat penampilan bersama La Roja tahun lalu ketika mengatasi Costa Rica tetapi dia telah dibawa ke Piala Dunia dan ke saingan Liga Negara-Negara UEFA oleh jurulatih baru, Luis Enrique.

Bintang Manchester United, De Gea, beraksi dalam kesemua perlawanan di Russia tetapi menerima kritikan di atas kesilapannya ketika seri 3-3 dengan Portugal dalam saingan peringkat kumpulan.

Undian yang telah dilakukan oleh akhbar bola sepak, Marca, selepas perlawanan tersebut merumuskan separuh daripada penyokong mahu Kepa mengambil alih tempat sebagai penjaga gol utama bagi perlawanan seterusnya.

Walaupun Kepa sendiri tidak terbawa-bawa dengan tinjauan tersebut, dia bersedia untuk memberikan saingan kepada De Gea bagi merebut tempat itu.

"Berada dalam skuad ini sudah menggembirakan saya. Kami semua mahu berada di sini dan mahu beraksi," katanya.

"Kami akan bertemu barisan kejurulatihan dalam beberapa hari lagi kerana terdapat perlawanan penting yang perlu dihadapi.

"Saya akan terus melakukan tugas saya. Jurulatih akan membuat keputusan yang terbaik untuk pasukan.

"Semua pemain bersaing untuk mendapatkan tempat. 

"De Gea adalah penjaga gol yang berkualiti. Saya tidak terlalu melihat kepada undian yang telah dilakukan. Saya cuba memberikan fokus kepada persembahan diri sendiri," tambahnya.

Kepa menjadi penjaga gol termahal apabila menyertai Chelsea daripada Athletic Bilbao dengan perpindahan bernilai EURO80 juta (RM383 juta), bulan lalu.

Dia, bagaimanapun, menegaskan tanda harganya tidak memberikan sebarang tekanan tambahan dan gembira di atas keputusannya berhijrah ke London.

"Saya mula menyesuaikan diri dengan kehidupan baru bersama Chelsea. Segalanya positif dan ia memudahkan urusan saya.

"Ia merupakan kelab terbaik. Memenangi kejuaraan seperti Liga Juara-Juara (UCL) Liga Europa dan Liga Perdana Inggeris (EPL), pasukan juga memiliki barisan pemain yang berkualiti," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video