Skip to main content

Bola Sepak

Kemenangan luar biasa -- Devan

k-devan.jpg
Pengendali PJ City FC, K. Devan, mengakui kemenangan dramatik 5-3 ke atas Terengganu FC (TFC) di tempat lawan, malam tadi, adalah kemenangan yang luar biasa.

Sambil memuji aspek mental pasukannya, Devan berkata mereka berjaya mengambil kesempatan di atas keletihan TFC selain kelebihan fizikal yang dimiliki pemain-pemainnya.

Kemasukan pertahanan kiri, Zamri Pin Ramli, juga baginya menjadi titik tolak perlawanan itu selepas dia melakukan hantaran untuk gol kedua serta menjaringkan gol keempat PJ City.

"Saya tak sangka keputusan malam ini (tadi), tak mungkin ini berlaku apabila kami menentang TFC di tempat mereka.

"Dalam bola sepak, perkara luar biasa boleh berlaku dan bagi saya, ini adalah luar biasa," jelas bekas jurulatih Kelantan dan Negeri Sembilan itu.

Dalam aksi itu, TFC garang mendahului 3-0 menerusi Kipre Tchetche pada minit ke-11, disusuli jaringan Nabil Ahmad Latpi (m-17) dan Ashari Samsudin, dua minit selepas itu.

Namun, PJ City bangkit untuk mengikat kedudukan 3-3 bermula dengan jaringan Elizeu Araujo Batista pada minit ke-49, diikuti gol pantas daripada Pedro Henrique pada minit ke-56 serta Washington Dos Santos pada minit ke-57.

Zamri kemudian meletakkan PJ City di depan pada minit ke-77 sebelum Henrique menamatkan permainan dengan gol kelima melalui tandukan pada minit ke-80.

"Saya lihat pemain-pemain mengambil masa yang agak lama untuk mendapatkan rentak dan akibatnya, kami bolos tiga gol dengan begitu cepat.

"Kami menghasilkan peluang pada penghujung babak pertama dan dari situ, saya nampak tanda-tanda kebangkitan.

"Gol awal selepas rehat memberi semangat baru dan kami berjaya menjaringkan gol kedua dan ketiga dalam tempoh hanya setengah minit," tambah Devan.

Advertisement

Must Watch Video