Skip to main content

Bola Sepak

Kemenangan jadi matlamat Kuala Lumpur -- De Paula

guilherme-de-paula.jpg
Penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula, menegaskan hanya kemenangan menjadi matlamat pasukannya menjelang aksi menentang Felda United dalam suku akhir kedua Piala FA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam esok. 

Kuala Lumpur gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri dalam suku akhir pertama selepas terikat 2-2.

Dengan membenarkan lawan meraih dua jaringan di laman mereka, The City Boys perlu mendapatkan sekurang-kurangnya dua gol dalam aksi timbal balik itu bagi mencerahkan peluang mereka ke separuh akhir.

"Kami perlu mempamerkan permainan kami dengan secara selamat.

"Kami sedar jika kami memperoleh jaringan, Felda juga mampu melakukan perkara sama.

"Namun, kami akan turun ke sana untuk memenangi perlawanan.

"Kami tiada pilihan lain kerena Felda menjaringkan dua gol di laman kami, jadi kami perlu memenangi perlawanan itu," katanya.

Penyerang kelahiran Brazil itu akan menjadi taruhan utama pengendali Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt, dalam misi merobek gawang lawan.

Kuala Lumpur melakukan persiapan rapi bagi menghadapi ranjau di Jengka dengan mengadakan latihan di padang sintetik sejak kelmarin.

"Amat sukar untuk beraksi (di padang sintetik) kerana bola terlalu kerap melantun.

"Namun, kami perlu menyesuaikan diri secepat mungkin.

"Jika ia menyukarkan kami, ia juga akan menyukarkan mereka," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video