LIGA SUPER MSIA
Kemenangan bermakna buat Selangor -- Cheng Hoe
Mata terkumpul buat Selangor kini mendahului pasukan Kedah dengan 46 mata menjadikan impak kemenangan yang diraih ketika pertembungan dengan Negeri Sembilan adalah kemenangan yang bermakna.
Dengan keputusan 4-0 menentang skuad 'The Jangs' yang juga dijaringkan oleh empat pemain yang berbeza meletakkan Selangor di kedudukan yang selesa.
Ditambah lagi dengan kelebihan jumlah pemain yang beraksi di atas padang susulan pertahanan Negeri Sembilan, Tommy Mawat, dilayangkan kad merah, Selangor kekal dengan gerakan berbahaya sekali gus menghasilkan beberapa jaringan di separuh masa kedua.
Iklan
Walaupun itu adalah antara kemenangan terbesar dalam sejarah peribadi Liga Super musim ini, ketua jurulatih skuad gergasi merah, Tan Cheng Hoe, tetap berasakan masih ada ruang untuk diperbaiki menjelang perlawanan seterusnya.
"Saya puas hati kerana ini antara persembahan terbaik Selangor terutama dari segi konsentrasi dan persembahan, walaupun pada awal permainan ada sedikit kebimbangan dari segi 'set piece' Negeri Sembilan yang boleh menghasilkan gol.
"Namun jelas, pemain tidak terganggu dengan situasi itu dan kekal fokus. Walaupun kemenangan agak besar malam ini (malam tadi) tapi ia perlawanan yang sukar kerana tentangan sengit diberikan Negeri Sembilan.
"Syabas dan tahniah buat pemain kerana kekal fokus serta berjaya mencipta banyak peluang jaringan dan memanfaatkannya dengan baik untuk meraih kemenangan," katanya selepas perlawanan.Dalam perlawanan di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, Selangor membuka akaun jaringan pada minit ke-27 menerusi pemaiin import terbaru mereka, Richmond Boakye menamatkan separuh masa pertama dengan 1-0.
Beralih ke separuh masa kedua, tiga gol berjaya dijaringkan oleh Ayron Del Valle pada minit ke-59, Yohandry Orozco pada minit ke-74 dan pada lewat minit permainan, sebelum Harith Haiqal Adam Afkar menjaringkan gol terakhir buat pasukan Selangor.
Bagi ketua jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan, berkata kekalahan besar kepada Selangor tidak mematahkan semangat anak buahnya untuk memberikan aksi terbaik di perlawanan seterusnya.
"Saya tak banyak nak ulas tentang komitmen pemain Negeri Sembilan kerana mereka telah berikan lebih 100 peratus, walaupun tiada gol yang dijaringkan tapi mereka melakukan serangan dan mencipta banyak peluang jaringan.
"Kemantapan serangan Selangor yang mempertaruhkan barisan pemain import berbanding kita menggunakan tenaga tempatan, menyebabkan mereka tidak dapat menyaingi lawan.
"Kita kena terima hakikat akan kelebihan dan kualiti dimiliki Selangor, tapi pemain saya tetap mencuba untuk mendapatkan gol sehingga ke saat terakhir perlawanan," katanya.
Must-Watch Video