Skip to main content

Bola Sepak

Kelibat Fandi Ahmad latih Sri Pahang cetus tanda tanya

fandi-ahmad.jpg
Kelibat Fandi Ahmad dalam sesi latihan pertama skuad Sri Pahang FC semalam seolah-olah memberikan bayangan pengendali dari Singapura itu bakal melatih skuad Tok Gajah berkenaan bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Jurulatih berusia 60 tahun itu dilantik sebagai Penasihat Teknikal Kelab Bolasepak Sri Pahang FC (SPFC) musim ini, dan ia memberikan kelebihan kepada Fandi untuk kekal di Stadium Darul Makmur bagi musim 2023.

Tiada sebarang kenyataan rasmi daripada kelab itu berhubungan kedudukan Fandi dan Datuk Dollah Salleh selaku ketua jurulatih Sri Pahang musim ini.

Ia masih menjadi teka-teki kerana setakat ini senarai pemain masih belum diumumkan termasuk import.

Bagaimanapun, ada keputusan rasmi melibatkan penyerang import dari Colombia, Steven Rodriguez, yang sah tidak bersama Tok Gajah musim depan.

Nasib empat lagi pemain import, iaitu Kevin Ingreso dari Filipina, Sherzod Fayziev (Uzbekistan), Mamadou Samassa (Mali) dan Manuel Hidalgo (Argentina), masih menjadi tanda tanya2, sama ada kekal atau sebaliknya.

Media sebelum ini melaporkan hanya Fandi disebut-sebut akan membimbing skuad itu dengan perubahan yang akan dilakukan, terutama menampilkan barisan pemain berpengalaman.

Kehadiran Fandi pada pertengahan musim lalu membantu Sri Pahang memperbaiki kedudukan daripada dasar Liga Super ke tempat ketujuh.

Dia memberi impak positif kepada Tok Gajah biarpun misi berada di kedudukan kelima tidak kesampaian.

Dalam sesi latihan pramusim itu, antara pemain yang hadir ialah Nor Azam Azih, Abdul Malik Mat Ariff, Baqiuddin Shamsuddin, Zarif Irfan Hashimuddin, Ashar Al Aafiz bin Abdullah dan Muslim Ahmad.

Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video