Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menzahirkan ucapan terima kasih kepada Persatuan Bolasepak Malaysia yang berjaya menyediakan venue berkecuali kepada Palestin menentang Jordan bagi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 malam tadi.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, turut berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang hadir ke stadium bagi menyatakan sokongan serta solidariti buat skuad kendalian Makram Daboub.
Dalam perlawanan di Cheras itu, Jordan mengutip tiga mata berharga selepas mengatasi Palestin dengan keputusan 3-1 hasil dua jaringan Yazan Al Naimat dan Noor Al Rawabdeh, manakala jaringan sagu hati Palestin menerusi sentuhan Wessam Abou Ali.
"Terima kepada terutama FAM kerana berhasilkan sediakan gelanggang neutral untuk Palestin bersaing dalam kelayakan Piala Dunia.
"Saya juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang turun hadir memberikan sokongan dan di peringkat kementerian, ini satu solidariti kepada rakan-rakan di Palestin," katanya malam tadi.
Sementara itu, Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, mengakui teruja dengan kejayaan Harimau Malaya yang menjulang kejuaraan Pestabola Merdeka buat kali ke-13 selepas menewaskan Lubnan, Ahad lalu.
Hamidin berharap skuad kendalian Pau Marti Vicente itu dapat mengekalkan fokus dan konsisten bagi mengharungi aksi antarabangsa akan datang.
"Pau Marti cepat dapat menerapkan sistem ini dalam pasukan, pemain juga sudah biasa dengan Pau Marti.
"Kita tahu sukar untuk bermaind engan pasukan Arab jadi kita menang dan kita harap momentum ini ketika perlawanan persahabatan bulan depan," katanya.
Shaiful Shamsudin
Wed Sep 11 2024