Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Piala Dunia: FIFA arah aksi Brazil-Argentina diadakan semula

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

fifa-argentina.jpg
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan Brazil dan Argentina perlu mengadakan semula perlawanan kelayakan Piala Dunia yang tertangguh September lalu selepas menolak rayuan daripada persekutuan bola sepak kedua-dua negara itu.

Perlawanan asal di Sao Paolo itu dibatalkan selepas hanya lima minit berlangsung selepas pegawai kesihatan Brazil bertindak memasuki padang berikutan tuduhan Kerajaan Brazil bahawa pemain pasukan pelawat, Emiliano Martinez, Emiliano Buendia, Cristian Romero dan Giovani Lo Celso telah memberikan maklumat palsu mengenai borang imigresen mereka dan melanggar undang-undang COVID-19 negara itu. 

FIFA mengekalkan keputusan yang diumumkan Februari lalu apabila mengarahkan perlawanan itu dilangsungkan semula dengan keempat-empat pemain tersebut digantung dan kedua-dua pihak dikenakan denda.

Persekutuan kedua-dua negara kemudiannya membuat rayuan terhadap keputusan tersebut tetapi FIFA mengesahkan perlawanan itu perlu diadakan semula pada tarikh dan di tempat yang belum ditentukan.


 


Satu kenyataan daripada badan induk bola sepak dunia itu berkata: "Jawatankuasa Rayuan FIFA telah memutuskan rayuan yang dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Brazil (CBF) dan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA).

"Selepas menganalisis penghujahan kedua-dua pihak dan mempertimbangkan semua keadaan kes ini, Jawatankuasa Rayuan FIFA mengesahkan bahawa perlawanan ini akan dimainkan semula dan juga mengekalkan denda sebanyak CHF50,000 (RM220,834) terhadap kedua-dua persatuan akibat pembatalan perlawanan itu."

Brazil dan Argentina sudah pun layak ke pusingan akhir di Qatar hujung tahun ini dengan selesa. Skuad Selecao menduduki tangga teratas zon kelayakan CONMEBOL dengan 45 mata dan masih belum tewas dalam kempen ini sementara Argentina di tempat kedua dengan 39 mata. 

Ini bermakna perlawanan yang akan dimainkan semula kelak tidak akan memberi kesan kepada kedudukan akhir.

Advertisement

Must Watch Video