BOLA SEPAK
Kelayakan Piala Asia B-23: Chonburi medan kebangkitan skuad B-23 negara
Selepas hampa dalam Sukan SEA Kemboja pada Mei lalu dan Kejohanan AFF B-23 bulan lalu, ketua jurulatih skuad B-23 negara, E. Elavarasan, tetap menyasarkan anak buahnya untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 di Qatar tahun depan.
Walaupun menyedari aksi kelayakan di Chonburi, Thailand bermula esok akan menjadi pentas yang lebih kompetitif, sasarannya tetap sama, iaitu untuk sekurang-kurangnya menjadi dua pasukan terbaik Kumpulan H atau bergelar juara bagi mendapatkan slot kelayakan automatik ke Qatar.
Skuad negara akan memulakan kempen Kumpulan H dengan berdepan Bangladesh malam esok sebelum bertemu Filipina (9 September) dan tuan rumah, Thailand (12 September).
Iklan
Sebagai rekod, hanya juara kumpulan dan empat pasukan naib juara terbaik akan layak ke kejohanan utama pada April tahun depan.
"Kami tiba di sini dengan sasaran yang sama, untuk sekurang-kurangnya mendapatkan slot bagi pusingan akhir," kata Elavarasan dalam sidang media seperti yang dipetik Astro Arena.
"Ia juga akan menjadi skuad Malaysia yang sama, di mana kami akan menggilirkan pemain dan menggunakan seluruh kejohanan ini sebagai medan menimba pengalaman.
"Harap-harap pemain yang terpilih dapat melakukan yang terbaik dalam kejohanan ini.
"Bagi pihak kami, jangkaan terhadap pasukan Malaysia ini juga agak tinggi dan kami datang ke sini sudah pasti untuk melakukan yang terbaik dan mencuba untuk memenuhi apa yang penyokong mahu lakukan.
"Sudah pasti ia satu pusingan yang sukar tetapi kami mahu melepasi kejohanan ini," katanya.
Must-Watch Video